SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa agar pemandu yang mempunyai rekod kecuaian atau pelanggaran serius disekat daripada terus beroperasi tanpa pemantauan ketat susulan nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, awal pagi Isnin.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan dengan memperluas sistem pemantauan pemandu bas daripada hanya Kejara kepada satu sistem senarai hitam antara agensi.
Menurutnya, tragedi nahas bas itu merupakan satu tamparan hebat terhadap sistem keselamatan pengangkutan awam negara dan tidak boleh dianggap sebagai insiden terpencil semata-mata.
"PN memandang serius kejadian ini dan menyeru Kerajaan Madani untuk segera mengambil langkah-langkah tegas bagi mencegah berulangnya tragedi seumpama ini.
"Antara cadangannya kerajaan digesa supaya memperkukuh penguatkuasaan peraturan pemakaian tali pinggang keledar seperti diwartakan dalam Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019, khususnya ke atas semua bas yang dibina selepas 1 Januari 2020.
"PN juga mencadangkan agar sistem ini diperluas ke semua bas sedia ada demi keselamatan maksimum,"katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, sebuah bas yang membawa 36 pelajar UPSI dilaporkan terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan pulang dari program khidmat masyarakat di Kelantan.
Seramai 15 pelajar disahkan maut manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Tambah Khairil Nizam, semua bas juga dicadangkan untuk dipasang Sistem Kedudukan Global (GPS) dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemudah cara bagi membolehkan data operasi seperti kelajuan, lokasi serta masa dipantau secara langsung oleh agensi penguatkuasa untuk mengelakkan kelalaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
"PN turut mencadangkan audit keselamatan berkala terhadap semua syarikat bas ekspres dan bas sewa khas pelajar termasuk aspek penyelenggaraan kenderaan serta tahap latihan pemandu.
"Selain itu, Suruhanjaya Siasatan Bebas perlu ditubuhkan untuk menyiasat nahas ini dan mengenal pasti kelemahan sistemik yang perlu diperbaiki secara menyeluruh sepertimana ditubuhkan bagi kemalangan maut FRU di Teluk Intan sebelum ini,"jelasnya.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam menegaskan, PN akan membawa isu berkenaan ke Parlimen dalam sesi terdekat bagi memastikan kerajaan tidak memandang ringan terhadap aspek keselamatan pengangkutan awam, khususnya apabila melibatkan pelajar dan generasi muda.
"Nyawa rakyat bukan statistik. Ia adalah amanah.
"Penyelesaian jangka panjang harus mengambil pendekatan 'whole-of-government', tidak boleh hanya diletakkan di bahu Kementerian Pengangkutan semata-mata,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas yang terlibat.