14 premis disita sembelih lembu secara haram di lorong belakang

Iklan
Operasi memberi tumpuan di beberapa kawasan panas sekitar ibu kota.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 premis diarahkan tutup serta-merta dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Veterinar dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut bagi membanteras aktiviti penyembelihan dan penjualan daging secara haram di ibu negara sempena Hari Raya Aidiladha.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi tiga hari bermula 6 hingga 8 Jun itu memberi tumpuan di kawasan panas sekitar Jalan Silang, Jalan Berangan dan Pusat Perniagaan Bandar Utara, lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan utama aktiviti sembelihan dan penjualan daging menjelang musim korban.

"Antara kesalahan serius dikesan termasuk aktiviti melapah daging lembu di lorong belakang premis yang dikendalikan warga asing tanpa lesen sah, pemotongan daging di atas lantai yang kotor serta pembuangan sisa seperti darah dan lemak ke dalam longkang awam.

Iklan

"Turut dikesan ialah kegiatan penyembelihan dan penjualan ayam hidup di dalam premis perniagaan, yang jelas menyalahi peraturan kebersihan dan piawaian kesihatan awam," menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu pada Isnin.

Sehubungan itu, DBKL berkata, pihaknya bertindak menyita premis terlibat dan mengarahkan penutupan serta-merta bagi memastikan keselamatan makanan dan kebersihan bandar terjamin menjelang hari raya.

Iklan

"Bagi memastikan kelancaran ibadah korban, satu pasukan khas dikenali sebagai Task Force Korban turut digerakkan bagi mengurus dan menyelaraskan permohonan aktiviti penyembelihan di ibu kota.

"Setakat ini, sebanyak 240 masjid dan surau telah mengemukakan permohonan rasmi kepada JAWI, manakala 11 permohonan diterima bagi lokasi sembelihan luar premis masjid atau surau, dengan 10 daripadanya diluluskan selepas menepati syarat yang ditetapkan," tambah kenyataan itu.

Katanya, setiap permohonan perlu disertakan dokumen lengkap termasuk surat kebenaran pemilik tanah, Surat Kesihatan Veterinar (SKV), Akuan Pindah Masuk (APM) dan Akuan Pindah Keluar (APK).

"Lokasi diluluskan diberi permit penyembelihan sementara oleh Jabatan Veterinar dengan sokongan DBKL selain diberikan taklimat pendidikan berkaitan pematuhan tatacara sembelihan mengikut piawaian syarak dan undang-undang.

"Ia merupakan komitmen kami untuk memastikan keselamatan makanan, kesihatan awam serta kebersihan bandar sepanjang musim Aidiladha, sejajar aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar berdaya huni, bersih dan sejahtera untuk semua," katanya.