Pemuda Pas Selangor gesa siasat program 'glamping' promosi gaya hidup songsang

Iklan
Mohamed Sukri. Foto Facebook Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjur program tidak bermoral yang menormalisasikan ideologi gender.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program yang secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup songsang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, negara tidak boleh bersikap longgar atas nama toleransi palsu sehingga menggadaikan nilai, akhlak dan masa depan masyarakat.

Jelas Yang Dipertua Pas Shah Alam itu lagi, toleransi tidak bermaksud membenarkan kemungkaran dipromosi secara terbuka.

Iklan

"Malaysia bukan negara tanpa nilai. Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala norma masyarakat dibina atas asas akhlak, keluarga dan kesejahteraan sosial.

"Penganjuran program sebegini bukan isu kebebasan semata-mata. Ia menyentuh soal ketenteraman awam, moral masyarakat, keselamatan sosial dan perlindungan generasi muda.

Iklan

"Lebih membimbangkan apabila wujud unsur propaganda gaya hidup songsang secara terbuka, terancang dan berunsur pengaruh sosial," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamed Sukri berpendapat, semua pihak perlu menghormati kerangka undang-undang negara.

Beliau turut meminta supaya cubaan mengimport ideologi asing yang bercanggah dengan jati diri Malaysia dihentikan.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila sebuah persatuan yang menggelarkan organisasi mereka sebagai kumpulan sokongan pemuda 'queer, gay dan biseks' memuat naik satu poster di Instagram.

Persatuan itu didakwa bakal menganjurkan program santai 'Glamping With Pride' bersama ahli komuniti selama dua hari satu malam iaitu 17 dan 18 Januari, dipercayai di sekitar Hulu Langat.

Pautan pendaftaran program tersebut turut memaparkan lima pilihan gender iaitu lelaki cisgender, perempuan cisgender, lelaki transgender, perempuan transgender dan bukan binari.