SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meminta supaya pengurusan kuil di Dengkil Sepang yang dibina di kawasan tanah persendirian akur dengan undang-undang yang telah ditetapkan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman berkata, setiap rumah ibadat perlu dibina di lokasi yang sah atau tanah digazetkan, bukannya di atas tanah individu lain tanpa kebenaran.
"Saya nasihatkan apabila ingin mendirikan rumah ibadat, pastikan tempat itu bersesuaian atau sudah digazetkan.
"Jangan sesuka hati ambil tanah orang lain dan kemudian minta pelbagai kelulusan dan saya tidak setuju dengan perkara sebegini," katanya semasa sidang akhbar di pejabatnya pada Khamis.
Tambahnya, isu itu bukan hanya tentang tanah, tetapi prinsip yang perlu dipegang oleh semua pihak termasuk rumah ibadat.
"Kalau saya pemilik tanah dan orang lain buat sesuatu tanpa izin, sudah tentu saya marah. Kita perlu ikut undang-undang dan menghormati kepelbagaian agama dan kaum di Selangor," jelasnya.
Papparaidu berkata, sehingga kini tiada tindakan rasmi diambil, namun beliau menegaskan perkara sama tidak harus berulang kerana boleh menimbulkan ketegangan antara komuniti.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang pemilik tanah persendirian tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung kewujudan semula sebuah kuil di atas tanah miliknya di Dengkil selepas lebih 20 tahun beliau tidak memasuki kawasan itu yang terletak jauh dan dikelilingi paya serta hutan.
Pemilik tanah, Datuk Suhaili Ahmad berkata, tanah berkenaan dibelinya sejak 2001 dan sebelum ini telah ditambak bagi tujuan pemasangan papan iklan di tepi lebuh raya.