Selangor tolak permohonan bina eskalator kuil Batu Caves dikemuka individu - Papparaidu

Iklan
Papparaidu (dua dari kiri) semasa menyerahkan salinan geran hak milik kepada wakil sekolah selepas sidang akhbar pada Khamis.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menjelaskan permohonan tanah melibatkan Kuil Hindu Batu Caves bagi tujuan pemasangan eskalator ditolak kerana ia dikemukakan atas nama individu.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman berkata, tanah milik kerajaan hanya boleh diluluskan untuk kegunaan awam atas nama persatuan atau badan berdaftar.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, permohonan itu dikemukakan atas nama individu pada Februari tahun lalu sebelum ditolak dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana tanah kerajaan digunakan untuk kegunaan awam atas nama individu," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Bagaimanapun, Papparaidu berkata, kerajaan negeri bersikap prihatin dengan mencari penyelesaian demi kepentingan masyarakat apabila MMKN memutuskan untuk meluluskan tanah berkenaan atas nama persatuan kuil.

"Kerajaan negeri bersetuju meluluskan tanah itu atas nama persatuan kuil tertakluk kepada persatuan tersebut berdaftar secara sah dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan)," ujarnya.

Iklan

Beliau menegaskan, keputusan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu lama yang berlarutan, bukannya menafikan hak mana-mana pihak.

Papparaidu menjelaskan, pihaknya menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri gagal membantu atau sengaja melengahkan kelulusan permohonan, sambil menegaskan semua pembinaan dan pembangunan perlu mematuhi undang-undang.

"Mana-mana pembinaan baharu perlu mendapat kebenaran merancang, kelulusan pelan bangunan dan mematuhi syarat teknikal termasuk penukaran syarat tanah," tambah beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas boleh diambil tanpa mengira pihak terlibat.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya mendapatkan panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memulakan sebarang pembangunan bagi mengelakkan masalah pada masa depan.

"Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan sama rata kerana kita tidak mahu timbul persepsi hanya pihak kecil dikenakan tindakan, manakala pihak besar dibiarkan," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Papparaidu berkata, dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), iaitu Pusat Telok Datok dan SJKT Ladang Gadong, Tanjung Sepat, menerima geran hak milik tanah yang telah dipohon sejak tahun 2021.

Katanya, proses pemilikan itu penting bagi memastikan sekolah memiliki dokumen yang diiktiraf sepenuhnya untuk tujuan rasmi.

"Ketiadaan geran tanah mengekang perancangan pembangunan sekolah, seperti di SJKT Pusat Telok Datok, apabila hasrat membina dataran terbuka tidak dapat diteruskan kerana status tanah belum selesai," ujar beliau.