SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memindahkan industri penternakan babi ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dijangka mula beroperasi pada 2030.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pemindahan itu dilakukan sebagai langkah jangka masa panjang menangani isu pencemaran, wabak penyakit dan menjaga keharmonian masyarakat di kawasan penternakan sedia ada di Kampung Ladang Tumbuk Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Menurut beliau, kawasan seluas kira-kira 200 hektar itu dikenal pasti kerana lokasinya yang jauh dari penempatan penduduk.
"Projek ini akan menggunakan sistem penternakan tertutup bagi mengawal penularan penyakit, selain konsep sifar pelepasan zero discharge menerusi teknologi kitar semula sisa kumbahan kepada biogas dan elektrik.
"Zon penampan turut diwujudkan bagi memastikan jarak selamat antara ladang dan kawasan awam," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Bagaimanapun Izham berkata, sementara menunggu projek Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada beroperasi di lokasi semasa untuk tempoh tiga tahun sebagai fasa peralihan tertakluk kepada syarat ketat.
Katanya, dalam tempoh itu juga, semua aktiviti penternakan akan ditumpukan di kawasan Tanjung Sepat membabitkan 112 ladang termasuk sebuah ladang yang sebelum ini beroperasi tanpa lesen.
"Sebanyak tiga ladang di Sungai Belangkan diarahkan berpindah ke Tanjung Sepat bagi memudahkan kawalan penyakit dan pencemaran, selain lesen penternakan perlu diperbaharui setiap enam bulan,” katanya.
Mengulas wabak demam babi Afrika (ASF), Izham berkata, setakat ini 66 daripada 114 ladang disahkan positif manakala 48 lagi negatif.
"Tindakan pelupusan babi yang dijangkiti ASF segera dilaksanakan mengikut Seksyen 36 Akta Binatang 1953.
"Ladang yang terjejas perlu dikosongkan selama 40 hari bagi proses sanitasi sebelum ujian ‘sentinel’ dilakukan," ujar beliau.
Jelas beliau, bagi menjamin bekalan daging babi, kerajaan negeri turut membenarkan kemasukan babi hidup dari Sarawak iaitu kira-kira 2,000 ekor seminggu, selain dari Perak, namun semuanya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.
"Ternakan dibawa terus ke pusat penyembelihan tanpa singgah di mana-mana ladang bagi mengelakkan jangkitan silang,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata, semua penternak babi diwajibkan menaik taraf sistem kumbahan dalam tempoh setahun pertama fasa transisi bagi mengatasi isu pencemaran bau dan air.
"Kita akan meneliti permohonan secara kes demi kes bagi membantu penternak mematuhi 11 syarat utama pembangunan ladang," tambah beliau.