Berkorban apa sahaja

Iklan
Ramai rakyat Malaysia terpaksa melakukan lebih dari satu pekerjaan semata-mata memenuhi keperluan hidup. Foto 123RF/hiasan

MELIHAT kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu selain harga barang dan kos sara hidup yang meningkat, ramai terpaksa mengorbankan masa dan tenaga semata-mata memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Ada juga yang terpaksa buat pilihan sama ada mahu tidur lena atau berkorban masa tidur demi menambah pendapatan memandangkan kos harga barang yang makin menggila ditambah pula gaji yang tidak banyak berubah.

Iklan
Iklan

Situasi ini juga menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpaksa melakukan lebih dari satu pekerjaan semata-mata memenuhi keperluan hidup.

Namun, perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah ada individu yang melakukannya demi mencari pendapatan tambahan bagi menampung kekurangan kewangan terutama mereka yang sudah mempunyai keluarga.

Iklan

Banyak perkara yang harus difikirkan, banyak benda yang harus dikorbankan demi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan tanpa sebarang kerumitan.

Tidak dinafikan, individu yang melakukan lebih dari satu pekerjaan mempunyai kurang masa berehat dan berisiko alami keletihan sekaligus mengganggu tahap kesihatan diri.

Iklan

Namun, sisi baiknya ialah mempunyai lebih pendapatan dan meningkatkan kemahiran termasuk mempunyai ramai kenalan daripada pelbagai latar belakang.

Bagaimanapun, harus diingatkan, kesihatan juga perlu lebih diutamakan dalam apa juga keadaan.

Dalam usaha dan kerja keras mencari nafkah, usah dilupakan agar memperuntukkan masa buat anak-anak dan keluarga tersayang.

Bayangkan, jika seorang bapa yang keluar rumah seawal Subuh, balik pula tengah malam, bila masanya dia akan berjumpa isteri dan anak-anak?

Teringat kisah seorang pemandu e-hailing dari negara seberang, yang bekerja sehingga 15 jam sehari, meninggal dunia pada 29 Mei lalu akibat serangan strok.

Mangsa, Gavin Neo, 49, disahkan meninggal dunia tiga hari selepas diserang strok secara tiba-tiba.

Sepanjang hayatnya, Neo dikenali sebagai seorang bapa yang berdedikasi dan sanggup berkorban demi masa depan dua orang anaknya, masing-masing berusia 17 dan 13 tahun.

Penulis faham, melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan siang dan malam, demi satu tujuan untuk pastikan makanan tetap ada atas meja dan hutang piutang bulanan perlu dibayar pada masanya.

Hari ini dapat dilihat tidak hanya kaum lelaki yang membuat lebih daripada satu pekerjaan malah golongan wanita turut rancak mencari rezeki tambahan untuk keselesaan keluarga.

Ada yang mengambil tempahan kuih, berniaga atas talian dan tidak malu untuk turun padang berniaga secara fizikal di pasar pagi atau malam.

Namun bagi mereka yang sanggup korbankan masa rehat, masa bersama anak-anak bahkan kesihatan sendiri terabai demi mencari rezeki tambahan, jangan sampai pengorbanan itu membawa mudarat pada diri sendiri kerana kelak keluarga kita jua akan menanggung akibatnya.

Ketika itu, menyesal sudah tidak berguna lagi. Pengorbanan yang baik perlulah seimbang dari segi masa, tenaga dan hasilnya tetapi masih menjaga kesihatan, hubungan sesama keluarga dan kewarasan diri sendiri.

Apa yang paling penting, usah rasa rendah diri pada usaha sendiri dan tidak sesekali membandingkan hidup kita dengan orang lain.

Jika selama ini merasakan pengorbanan kita kecil, percayalah setiap titik peluh dan wang ringgit yang dikorbankan ada nilainya pada keluarga, masa depan anak-anak dan keberkatan hidup yang kita kejar saban hari.

Sempena Aidiladha ini, mari kita hayati makna pengorbanan dengan lebih mendalam iaitu kisah agung Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail yang menunjukkan kekuasaan ALLAH dalam menuruti perintah dan ajaranNYA.

Moga pengorbanan kita semua dalam mencari rezeki termasuklah dari segi menentang kemalasan, sikap boros, ego dan pentingkan diri termasuk dalam golongan orang yang akan diberi ganjaran setimpal bukan saja di dunia, tetapi juga di akhirat.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Kedah