HOBI selalunya menjadi ruang untuk berehat dan mencari kepuasan diri, malah ada yang mampu membuka peluang rezeki.
Ada pengumpul kad Pokemon yang menjadikan minat itu sebagai sumber pendapatan apabila nilai koleksi tertentu meningkat dan diburu peminat.
Bagaimanapun, tidak semua hobi mendatangkan hasil kerana ada juga yang akhirnya memakan kos besar, memerlukan komitmen tinggi dan dalam kes tertentu boleh menimbulkan masalah dari sudut undang-undang serta kebajikan.
Ia seperti kisah seorang lelaki yang memelihara hidupan liar dilindungi sepenuhnya disyaki binturong di kediamannya di Seberang Jaya sejak 2019, apabila hobi itu akhirnya menjerat diri apabila dia ditahan pada Jumaat.
Kegiatan pemilikan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya itu terbongkar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan sokongan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Seberang Jaya serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pulau Pinang.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan di kediaman terbabit menemui seekor hidupan liar disyaki binturong bernilai RM50,000 iaitu spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Dalam satu kes berasingan, beberapa ekor kucing ditemui dikurung dalam sangkar kotor penuh najis tanpa makanan dan minuman bersih di Seremban 2 didedahkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), stray free.foundation pada Jumaat.
Apa yang mengejutkan, pemilik memberikan alasan tidak mempunyai masa untuk membersihkan sangkar dan kawasan luar kediaman kerana sibuk bekerja.
Apabila berlaku pelanggaran undang-undang ataupun pengabaian, hobi itu berubah menjadi kemudaratan bukan hanya kepada diri sendiri, malah juga kepada makhluk lain.
Dua insiden itu mengingatkan bahawa hobi bukan sekadar soal minat tetapi melibatkan komitmen, pengetahuan dan keupayaan untuk melaksanakannya secara bertanggungjawab.
Memelihara haiwan, khususnya, bukan untuk suka-suka atau sekadar memenuhi keinginan memiliki sesuatu yang comel atau eksotik, sebaliknya ia memerlukan masa, kos, tenaga dan kesedaran undang-undang yang betul.
Banyak masalah bermula apabila seseorang melibatkan diri dalam hobi tanpa ilmu atau tanpa membuat penilaian awal terhadap kesesuaian dan risikonya.
Perkara asas yang perlu diambil kira ialah kemampuan kewangan, komitmen, masa yang diperlukan dan batas undang-undang.
Justeru, jadilah penggemar hobi yang bijak dengan ukur kemampuan, hormati undang-undang, jaga kebajikan dan jangan biarkan keseronokan sesaat membawa penyesalan yang panjang.