Penahanan bekas Panglima TDM: Antara keadilan dan krisis kepercayaan rakyat

Iklan
Seorang bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya tiba di Kompleks Mahkamah Majistret di sini bagi urusan reman untuk membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan TDM.

PENAHANANAN reman seorang bekas Panglima Tentera Darat selama tujuh hari bermula Khamis bagi kes rasuah melibatkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) memberi mesej jelas mengenai usaha kerajaan dalam menangani budaya korupsi di negara ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Iklan
Iklan

Ezrene turut mengeluarkan perintah reman selama tiga hari dan enam hari masing-masing kepada isteri pertama dan kedua bekas pegawai tertinggi Tentera Darat tersebut.

Dari sudut lain, sudah tentu ia mencetuskan kebimbangan awam terhadap tahap integriti pegawai penguat kuasa, khususnya mereka yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam institusi keselamatan negara.

Iklan

Walaupun siasatan masih di peringkat awal dan prinsip anggapan tidak bersalah (presumption of innocence) perlu dihormati, kes ini menimbulkan persoalan besar tentang keberkesanan mekanisme kawalan dalaman serta tahap ketelusan dalam proses perolehan aset pertahanan negara.

Pada Selasa lalu, media melaporkan seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes sama.

Iklan

Menurut SPRM, siasatan awal mendapati, kesemua pengarah syarikat terbabit disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan yang melibatkan TDM.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa bekas Panglima Tentera Darat itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember 2024, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Dalam konteks keselamatan negara, isu rasuah dalam perolehan ketenteraan turut membawa risiko strategik.

Proses perolehan yang tidak telus boleh menyebabkan pembaziran dana awam, pemilihan aset yang tidak berkualiti serta menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara.

Sehubungan itu, kes ini wajar dijadikan titik tolak untuk kerajaan melaksanakan perubahan yang lebih drastik dan menyeluruh dalam membanteras budaya korupsi.

Langkah tersebut termasuk memperketat kawalan dalaman, memperkukuh sistem semak dan imbang, serta memastikan siasatan dan pendakwaan dilaksanakan tanpa campur tangan, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Ketelusan, akauntabiliti dan ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang perlu menjadi prinsip utama bagi memulihkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat.