'Glamping', dari riadah ke isu kontroversi

Iklan
Program ‘Glamping With Pride’ anjuran kumpulan LGBTQ di Hulu Langat.

TREND glamping yang mengabungkan konsep 'glamor' dan 'camping' pada asalnya menjadi pilihan mereka yang mahu beriadah dengan cara lebih selesa sambil menikmati suasana alam semula jadi.

Ia dianggap unik, menyeronokkan dan menjadi alternatif baharu kepada aktiviti berkhemah tradisional, namun apabila konsep riadah itu disandarkan kepada agenda tertentu hingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam masyarakat, ia bertukar daripada aktiviti santai kepada isu sosial yang diperdebatkan.

Iklan
Iklan

Situasi itu timbul susulan penganjuran program 'Glamping With Pride' dijadualkan berlangsung di Hulu Langat hujung minggu depan yang dianjurkan sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) dikenali sebagai Jejaka.

Program terbabit digambarkan sebagai satu 'retreat' berasaskan komuniti, memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Iklan

Walaupun penganjurnya mendakwa ia sah dan tidak melanggar undang-undang negara, namun pelaksanaannya akhirnya mencetuskan keresahan pihak berkuasa, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

Polemik bermula apabila promosi program selama dua hari satu malam yang memaparkan lima pilihan gender iaitu lelaki cisgender, perempuan cisgender, lelaki transgender, perempuan transgender dan bukan binari itu tular.

Iklan

Ramai mempertikaikan motif penganjuran serta penggunaan elemen tertentu yang dianggap bercanggah dengan nilai budaya dan agama negara ini.

Sebagai contohnya, Pemuda Pas Selangor menggesa siasatan segera serta tindakan tegas diambil tanpa kompromi kerana didakwa menormalisasikan ideologi gender.

Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) pula mahu kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk campur tangan segera bagi menghentikan penganjurannya.

Kerajaan Selangor turut tampil menyatakan pendirian agar program itu dibatalkan kerana dilihat tidak selari dengan norma masyarakat, manakala Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa pihak penganjur menghormati hak kaum majoriti dalam negara ini serta tidak melampaui batas dan norma budaya masyarakat.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyusuli dengan menggesa individu yang terjebak dengan gaya hidup LGBT supaya kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan disediakan.

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pihak berkuasa memantau rapi penganjuran program itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha atau pendekatan yang bertujuan menormalisasikan perlakuan seks songsang.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip serta ajaran agama, di samping bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun dan kerangka perundangan negara.

Selagi program glamping dianjurkan dalam bentuk neutral seperti aktiviti keluarga dan rakan-rakan, maka ia tidak pernah menjadi masalah.

Bagaimanapun, penganjur sewajarnya akur bahawa masyarakat berhak menolak apabila aktiviti glamping itu dilihat sebagai tidak selari dengan norma masyarakat ataupun menormalisasikan gaya hidup songsang.

Dalam konteks Malaysia, menghormati hak masyarakat majoriti bukan bermaksud menindas hak minoriti, tetapi menjaga batasan agar tidak mencetuskan provokasi dan konflik sosial.

Oleh itu, penganjur harus memahami garis sensitiviti masyarakat tempatan sebelum membawa tema atau elemen kontroversi ke dalam program mereka.

Apabila aktiviti riadah mula menimbulkan keresahan hingga membuat orang sekeliling tidak selesa, itu tanda bahawa kita sudah melangkaui batas yang sepatutnya.

Pengajaran di sini jelas iaitu apa sahaja bentuk hiburan ataupun rekreasi perlu dilakukan dengan hikmah dan hormat kepada suasana dan budaya tempat kita berpijak.

Semoga kontroversi itu mengajar kita bahawa tidak semua perkara yang sah dari sudut undang-undang sesuai dari sudut sosial, moral dan budaya.