ALOR SETAR – Kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik oleh pihak tertentu kerana terdapat projek lain yang turut berdepan kelewatan atas faktor yang sama.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hanya projek LRA sering dijadikan bahan serangan pihak lawan untuk menghentam dirinya, walaupun kelewatan turut berlaku dalam projek-projek lain.
Menurutnya, isu kelewatan projek lain seperti naik taraf jalan raya boleh diterima umum, namun situasi berbeza apabila melibatkan projek LRA.
"Bila kita beri lanjutan masa (EOT) sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk projek naik taraf jalan, orang boleh terima. Tapi untuk projek LRA, ada yang ‘menyalak’ sampai sekarang, tak mahu terima alasan itu, sedangkan situasinya sama. Projek jalan boleh terima, LRA tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan projek siap menaik taraf Jalan Suka Menanti (K137) di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, adalah perkara biasa bagi projek berskala besar yang melibatkan belanja puluhan juta ringgit untuk menghadapi kelewatan, khususnya membabitkan isu teknikal yang hanya dapat diselesaikan secara berperingkat.
"Kelulusan EOT kepada kontraktor adalah keperluan wajar, terutama semasa tempoh PKP akibat pandemik Covid-19 yang melumpuhkan keseluruhan sektor pembinaan negara.
"Ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sememangnya tiada pihak dapat melaksanakan kerja dalam tempoh tersebut,” ujarnya.
Beliau memberi contoh bahawa projek naik taraf jalan itu sendiri mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan, antara lain disebabkan PKP.
Projek LRA Bukit Selambau telah diberikan EOT ketiga yang akan berakhir pada 16 November ini manakala LRA Sungai Limau diberikan EOT keempat, dengan proses tender semula akan dilakukan selepas penamatan kontraktor diluluskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
Sementara itu, tiga lagi projek LRA di negeri ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, projek Jalan Suka Menanti yang dimulakan sejak Disember 2018 turut mengalami kelewatan akibat pelbagai faktor teknikal selain keperluan EOT.
"Antara cabaran dihadapi ialah isu pengambilan tanah yang tidak sempat diwartakan, menyebabkan kontraktor terpaksa menghentikan kerja sementara dan berpindah ke lot lain sekali gus menjejaskan jadual asal serta kos pembinaan.
"Apabila tanah tidak diwartakan, kontraktor tidak boleh teruskan kerja. Bila kembali semula ke lot tersebut, harga tanah meningkat dan bajet pula tidak mencukupi. Kerajaan negeri terpaksa menambah peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk menampung kos tambahan,” jelasnya.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak agar memberi penekanan terhadap perkara terperinci sebelum melaksanakan sesuatu projek.
Muhammad Sanusi turut menekankan pentingnya ketelitian dalam merancang projek infrastruktur agar kelemahan tidak berlaku pada peringkat awal termasuk dalam aspek pemilihan syarikat perunding.
"Kalau syarikat luar seperti dari Kuala Lumpur yang tiada pengetahuan mendalam tentang kawasan ini, banyak perkara boleh terlepas pandang seperti isu tanah tertinggal dan kelewatan borang pengambilan,” katanya.
Beliau percaya, projek menaik taraf jalan tersebut akan memberi impak positif kepada penduduk, khususnya dari segi peningkatan kualiti hidup dan kemudahan perhubungan.
"Jalan Suka Menanti adalah laluan utama yang menghubungkan masyarakat setempat dengan pusat bandar. Dengan jalan yang lebih baik, pengguna dari dalam dan luar Alor Setar boleh bergerak dengan lebih selesa serta selamat,” ujarnya.
Muhammad Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dalam menjayakan projek berkenaan, serta memuji perancangan dan reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah yang mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.
"Kerjasama dan komitmen semua pihak menjadi faktor utama dalam melancarkan pelaksanaan sesuatu projek. Ini harus menjadi petunjuk bahawa kerjasama semua pihak sentiasa diperlukan,” katanya.