KUALA LUMPUR – Perak terus mengorak langkah sebagai hab ekonomi masa hadapan apabila berjaya memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama pelabur antarabangsa dengan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd.
Perjanjian yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 itu menyaksikan Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) mengukuhkan kerjasama dalam tiga sektor utama berimpak tinggi iaitu pembangunan infrastruktur maritim, teknologi industri halal dan kecerdasan buatan (AI) serta sekuriti makanan mampan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama strategik ini membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Perak sebagai destinasi pelaburan masa hadapan dan selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
"Inisiatif ini mencerminkan kesediaan Perak untuk menerajui sektor masa depan seperti perdagangan global, teknologi AI dan sekuriti makanan.
"Ia bukan sekadar menarik pelaburan tetapi juga membina keupayaan negeri dalam industri baharu yang bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Jelasnya, pencapaian tersebut menyumbang secara langsung kepada Flagship 9 iaitu Program Mesra Pelabur dan Flagship 13 iaitu Hab Pelabuhan dan Maritim yang menjadi tunjang pelan Perak Sejahtera 2030.
MoU bersama kerajaan UAE menetapkan kerangka kerjasama dalam sektor sekuriti makanan mampan termasuk pelaburan dalam pertanian lestari, teknologi pengeluaran makanan dan jaringan perdagangan serantau.
Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi berkata, kolaborasi bersama Malaysia khususnya Perak merupakan bukti hubungan dua hala yang kukuh serta saling mempercayai antara kedua-dua negara.
"Melalui kerjasama ini, kita bukan sahaja memperkukuh rantaian bekalan serantau, tetapi juga menunjukkan komitmen terhadap pembentukan sistem makanan global yang stabil,” katanya.
Sementara itu, MoU dengan CHEC Construction iaitu anak syarikat kepada firma infrastruktur antarabangsa China Harbour Engineering Company Ltd, memperincikan pembangunan Terminal Serba Guna Hab Maritim Antarabangsa Bagan Datuk (BDI-SMT) yang dijangka menjadi nod perdagangan utama Asia.
Projek ini juga menyokong pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LUMIC) sebagai pemacu pertumbuhan baharu berasaskan maritim, logistik dan industri.
Majlis MoU tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Saarani sendiri.
Dalam perkembangan sama, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq menjelaskan inisiatif strategik ini memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi serta penaiktarafan prasarana.
"Kerjasama ini dibina berasaskan minat komersial yang kukuh serta objektif ekonomi bersama.
"Ia memperkasa sektor logistik, inovasi halal dan AI sekali gus meletakkan Perak sebagai pemangkin kepada sektor ekonomi baharu yang lebih mampan,” katanya.
Menurutnya, dorongan pelaburan dari UAE dan minat kukuh pelabur dari China dijangka merangsang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Perak dalam tempoh terdekat.
Tamat