Hospital Seri Manjung perlu pembesaran, penggunaan katil cecah 91 peratus

Iklan
Zambry ( tengah) sempena Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung bersempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 pada Sabtu.

MANJUNG - Kadar penggunaan katil Hospital Seri Manjung yang mencecah 91 peratus, memberi isyarat jelas bahawa kemudahan kesihatan di daerah tersebut memerlukan pembesaran segera bagi menampung peningkatan pesakit.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keadaan itu dimaklumkan sendiri oleh pihak pengurusan hospital sempena Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung bersempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Hospital Seri Manjung yang mula beroperasi sejak 1995 itu kini sudah melebihi 30 tahun berkhidmat dan meskipun sebuah bangunan tambahan baharu telah mula digunakan tahun lalu, kemudahan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung pertambahan pesakit.

"Unjuran yang dibuat kerajaan pada waktu itu melihat dari segi penduduk daerah Manjung.

Iklan

"Jadi tentunya selepas 30 tahun, keadaan di hospital ini memerlukan pembesaran, tambahan lagi daerah Manjung merupakan daerah yang paling pesat berkembang dari segi kegiatan ekonomi," katanya

Zambry diiringi Pengarah Hospital Seri Manjung, Dr Gridhari Nath Gingaiah menyantuni pesakit di wad perubatan dan mengedarkan 1,000 pek sumbangan kepada pesakit, pelawat dan warga kerja hospital.

Iklan

Beliau berkata, perkembangan pesat ekonomi di Manjung termasuk projek Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) serta pertumbuhan kawasan perindustrian seperti Kampung Acheh dijangka meningkatkan jumlah penduduk, sekali gus menambah tekanan terhadap kapasiti hospital tersebut.

Keadaan itu katanya, menunjukkan unjuran keperluan perkhidmatan kesihatan di daerah berkenaan bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang perlu diberi perhatian serius.

"Saya akan membawa perkara ini kepada perhatian Menteri Kesihatan untuk memastikan perancangan pembesaran dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

"Perkara ini juga pernah diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika lawatan beliau ke daerah Manjung tahun lalu, termasuk komitmen untuk meneliti keperluan tambahan fasiliti dan tenaga kerja," katanya.

Dalam lawatan itu, Zambry diiringi Pengarah Hospital Seri Manjung, Dr Gridhari Nath Gingaiah menyantuni pesakit di wad perubatan dan mengedarkan 1,000 pek sumbangan kepada pesakit, pelawat dan warga kerja hospital.