GOPENG – Seorang warga emas tidak menyangka urusannya membeli barang keperluan di sebuah pasar raya menjadi kisah sensasi di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Puteh Zaleha Sarip, 76, berkata, tujuannya ke sebuah pasar raya di Kampar sebelum ini hanyalah untuk membeli barangan keperluan asas sebagai persediaan juadah berbuka puasa bersama keluarga.
Ibu kepada lima anak itu menjelaskan, pada asalnya dia berhasrat membeli ayam segar untuk dimasak ketika berbuka namun tidak menyedari bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diterima tidak boleh digunakan membeli barangan basah.
"Dah tak boleh beli barang-barang itu, jadi opah beli santan kotak dan kopi sahaja. Tak sangka pula ada orang rakam dan kongsi di TikTok.
"Biasanya anak-anak bawa opah pergi beli barang, jadi bila anak-anak sibuk bekerja, opah pergi sendiri beli barang," ketika ditemui pemberita di Kampung Jeram di sini pada Sabtu.
Menurutnya, sejak kecil sudah terbiasa bekerja kuat termasuk menjadi pekerja pembersihan di sekolah dan syarikat swasta sebelum berhenti beberapa tahun lalu.
"Alhamdulillah, setakat ini opah tak ada penyakit kronik macam kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung. Mungkin sebab biasa berjalan kaki jauh dan selalu berpeluh.
“Selagi ada kudrat, opah buat sendiri. Jalan jauh pun dah biasa," katanya yang tinggal bersama seorang anak serta cucu.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana perkongsian tersebut membuka ruang kepada ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.
Menurutnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta individu perseorangan datang menziarah dan menyampaikan sumbangan berupa beras serta barangan keperluan asas.
"Syukur sangat. Selain itu, opah memang ada terima bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan dan beras lima kilogram daripada masjid berdekatan setiap bulan.
"Cukuplah untuk keperluan harian sebab semua anak sudah bekerja dan ada keluarga masing-masing. Opah tak mahu susahkan sesiapa," ujarnya.
Di sebalik usia sebegitu, Puteh Zaleha mengakui masih mampu berpuasa penuh sekiranya diizinkan kesihatan serta tidak ketinggalan menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran.
Kisah yang tular itu turut mengundang Pas Kawasan Kampar untuk menziarahi wanita tersebut bagi mengetahui keadaan selain menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta barang-barang keperluan.
Sebelum ini kisah warga emas itu menjadi sensasi di media sosial sehingga meraih lebih 48,000 tanda suka dan 4,436 perkongsian menerusi akaun TikTok LaDuniaWi selain mengundang simpati warganet.