IPOH – Peniaga bazar Ramadan antara 23 peniaga di negeri ini dikompaun kerana gagal meletakkan tanda harga dalam tempoh Ops Pantau 2026 yang bermula 19 Februari lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, daripada 860 premis yang diperiksa setakat 23 Februari, sebanyak 27 kes telah dikenakan tindakan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM6,000.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 23 kes melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dengan jelas manakala empat lagi kes di bawah Akta Timbang dan Sukat kerana alat timbang tidak disahkan serta tamat tempoh verifikasi.
"Ops Pantau ini kita laksanakan bermula 19 Februari hingga 20 April sempena Ramadan dan Aidilfitri. Pemeriksaan melibatkan bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar raya, pasar basah, pasar kering serta kedai runcit.
"Semasa pemeriksaan, jika kita temui kesalahan, kompaun akan dikeluarkan serta-merta. Setakat ini nilai kompaun berjumlah RM6,000 bagi 27 kes di seluruh Perak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena sesi walkabout dan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR), Program Ihsan Food Bank (IFB) dan Program Patuh di Bazar Ramadan Taman Cempaka di sini pada Selasa.
Kamalludin berkata, pemantauan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan tumpuan lebih kerap di lokasi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
"Nasihat kita kepada peniaga, pastikan setiap barangan yang dijual mempunyai tanda harga yang jelas dan mudah dilihat. Jangan letak harga terlalu kecil atau mengelirukan pengguna.
"Kepada pembeli pula, jika merasakan harga tidak munasabah atau berlaku pencatutan, boleh salurkan aduan kepada KPDN melalui saluran disediakan termasuk WhatsApp, portal rasmi, talian pusat panggilan, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 11 lokasi BRR diwujudkan di Perak tahun ini melibatkan 465 peniaga yang menawarkan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan.
Sementara itu mengenai pelaksanaan Program Ihsan Food Bank (IFB), Kamalludin berkata, ia merupakan transformasi kepada inisiatif MySaveFood akan diteruskan tahun ini bagi mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.
Menurutnya, tahun lalu program itu dilaksanakan di 15 bazar seluruh Perak dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) membabitkan penyertaan mahasiswa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Hasil pelaksanaan IFB tahun lepas, sebanyak 6,324 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan dengan anggaran nilai RM80,325 dan memberi manfaat kepada lebih 500 penerima termasuk pelajar serta penghuni rumah kebajikan dan rumah anak yatim,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu akan diperkukuhkan tahun ini bagi memastikan lebihan makanan di bazar Ramadan dapat diagihkan secara lebih sistematik kepada golongan memerlukan sekali gus menyokong konsep Santuni komuniti, Sayangi alam dan Selamatkan makanan.