Enam polis dihukum solat lima waktu berjemaah selepas positif dadah

Iklan
Pihak berkuasa juga kini lebih giat melaksanakan ujian air kencing secara berkala terhadap anggota polis. - Foto Agensi

JAKARTA – Seramai enam anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Sungai Tengah (HST), Kalimantan Selatan, didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing dalam satu operasi mengejut baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah HST, AKBP Jupri JHP Tampubolon berkata, kesemua anggota terbabit kini sedang menjalani hukuman pembinaan khas selama 14 hari yang merangkumi latihan jasmani dan disiplin, serta kewajipan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di surau, di bawah pemantauan rapi pihak atasan.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya, apabila kita jalankan ujian air kencing, keputusannya semuanya negatif. Tetapi kemudian kita tukar pendekatan, turun terus ke lapangan bersama Bahagian Antidadah dan bahagian lain ke semua balai. Minggu lepas, kita dapati enam orang anggota positif dadah,” katanya seperti dipetik oleh Tribun pada Ahad.

Langkah tegas ini diambil susulan kes seorang anggota polis dari Balai Polis Limpasu, dikenali sebagai MI, yang ditembak oleh pihak Badan Narkotika Nasional Provinsi (BNNP) ketika cuba ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Iklan

Menurut Jupri, keenam-enam anggota berkenaan bukan sahaja diwajibkan hadir ke sesi perhimpunan pagi dan tengah hari setiap hari, malah turut dikenakan latihan jasmani tiga kali sehari serta pembinaan rohani secara intensif.

Langkah tegas Polres HST itu turut mendapat sokongan penuh Ketua Polis Kalimantan Selatan, Irjen Rosyanto Yudha Hermawan, yang menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Iklan

"Kalau masih ada yang terlibat dengan dadah, saya tidak teragak-agak untuk memecat. Masih ramai yang berkelayakan mahu menjadi anggota polis,” tegas beliau.

Pihak berkuasa juga kini lebih giat melaksanakan ujian air kencing secara berkala terhadap anggota sebagai langkah pencegahan awal bagi membanteras penularan gejala dadah dalam kalangan anggota keselamatan. – Agensi