10 negara bebas penjajahan Barat

Iklan

PENJAJAHAN Barat merupakan fenomena politik dan ekonomi di mana banyak negara Eropah bersaing untuk mengawal, menakluki dan mengeksploitasi negara lain.

Menjelang akhir abad ke-20, orang Eropah telah menjajah hampir 80 peratus dunia dan terdapat beberapa negara yang 'terselamat'.

Iklan
Iklan

Walaupun negara-negara ini berjaya mengelakkan penjajahan secara rasmi, kesannya masih mempengaruhi sejarah dan terus membentuk dunia hari ini. Berikut ialah 10 negara yang terhindar daripada kuasa kolonial Barat.

1. Bhutan

Iklan

Ia ditubuhkan sebagai negara merdeka selepas pemberontakan yang membawa kepada pemisahan daripada Empayar Tibet pada 1634. Empayar British berminat dengan wilayahnya hingga mencetuskan siri konflik selama dua abad. Bhutan berjaya mengekalkan kemerdekaannya dan diiktiraf Britain menerusi Perjanjian Punakha 1910.

2. Iran

Iklan

Empayar British tidak pernah menjajah Iran, namun mengekalkan kawalan ke atas banyak sumber negara itu. Revolusi Perlembagaan Parsi pada 1906 telah membatalkan konsesi yang dicapai selepas Perang Inggeris-Parsi pada 1857. Penubuhan Parlimen pada masa itu mengekang kuasa pemerintah yang bersekutu rapat dengan kepentingan British. Teheran kekal dalam lingkungan pengaruh Barat sehingga kebangkitan Revolusi Islam 1979.

3. Nepal

Pada awal 1800-an, Nepal dan Empayar British bersaing untuk mendapatkan wilayah serta pengaruh di Benua Kecil India. Sengketa itu telah mencetuskan peperangan dengan sebahagian besar wilayah negara Asia Selatan itu dikuasai British. Namun, Nepal dapat mengekalkan statusnya sebagai sebuah negara merdeka.

4. China

Konfrontasi utama dengan Empayar British berlaku ketika Perang Candu. Larangan penjualan candu kerana impak buruk telah memberi tamparan hebat kepada pedagang British. Ia membuka peluang kepada pencerobohan Britain ke atas China yang kemudiannya berakhir dengan beberapa konsesi termasuk mengambil alih Hong Kong. Ia bagaimanapun tidak dijajah sepenuhnya dan hanya berdepan campur tangan asing.

5. Jepun

Pemerintah menggubal dasar Sakoku pada 1633 kerana bimbang dengan penjajahan Barat yang semakin meluas. Ia mengasingkan negara itu dari dunia luar selama hampir 220 tahun sebelum ditamatkan oleh Ekspedisi Perry yang dilancarkan di bawah pentadbiran Presiden ke-13 Amerika Syarikat (AS), Millard Fillmore. Walaupun terpaksa membuka pintu perdagangan kepada kuasa Barat, Jepun kekal bebas daripada penjajahan asing.

6. Korea

Ia tidak pernah dijajah Eropah, namun ditawan Jepun pada 1910. Penaklukan itu berlarutan selama 35 tahun sebelum Korea bebas dari cengkamannya selepas Jepun menyerah kalah pad Perang Dunia Kedua apabila Manchuria, tanah jajahannya dikuasai Kesatuan Soviet. Korea menjadi sebuah negara merdeka selepas kekalahan Jepun kepada Kuasa Berikat.

7. Afghanistan

Ia tidak pernah secara rasmi dijajah Barat walaupun menjadi sasaran pencerobohan sejumlah negara seperti British, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. Ia kekal sebagai negara merdeka sepanjang abad ke-19 dan ke-20 meskipun terlibat peperangan dengan kuasa asing. Kabul menjadi penampan antara British India dan Rusia, namun dapat mengekalkan kedaulatannya.

8. Ethiopia

Menjelang 1913, Eropah telah menjajah lebih 90 peratus kawasan di Afrika, namun Ethiopia terlepas daripada cengkaman kuasa Barat. Ia bagaimanapun pernah berdepan pencerobohan dan pendudukan sementara oleh Itali. Negara Afrika Timur itu berjaya mengekalkan kedaulatannya dan menuntut kembali kemerdekaan dengan bantuan tentera Kuasa Berikat ketika Perang Dunia Kedua.

9. Arab Saudi

Ia tidak pernah dijajah secara langsung oleh kuasa Barat seperti negara Arab lain. Arab Saudi mencapai penyatuan di bawah Raja Abdulaziz al Saud pada 1932. Ia berjaya mengekalkan kedaulatannya walaupun terlibat perjanjian ekonomi dan politik dengan Barat pada abad ke-20.

10. Thailand

Ketika abad ke-19, ia dikenali sebagai kerajaan Siam dan tidak pernah menjadi koloni penuh kuasa Barat seperti sebahagian besar negara Asia Tenggara. Pemerintah pada masa itu menggunakan perjanjian diplomatik dan konsesi ekonomi untuk mengekalkan kemerdekaannya. Raja Chulalongkorn juga memanfaatkan pakatan British-Perancis untuk memastikan negaranya bebas daripada penguasaan Eropah.

Sumber: www.worldatlas.com