Gara-gara selisih faham, ibu racun bayi 10 bulan sebelum ditemui mati

Iklan
Sushma bersama anaknya berusia 10 bulan yang ditemui mati selepas didakwa diberi minum racun. - Agensi

HYDERABAD – Seorang wanita didakwa meracun anak lelakinya yang berusia 10 bulan sebelum ditemui mati, dipercayai akibat perselisihan faham rumah tangga yang berlarutan dengan suaminya.

Wanita berkenaan dikenal pasti sebagai Sushma, 27 tahun, yang telah berkahwin sejak empat tahun lalu dengan Yashwanth Reddy, seorang akauntan bertauliah.

Iklan
Iklan

Ahli keluarga memaklumkan kepada pihak polis bahawa pasangan tersebut kerap bertengkar sejak kebelakangan ini.

Menurut pihak polis, Sushma telah pergi ke rumah ibunya, Lalitha, 44 tahun, bagi membuat persiapan membeli-belah untuk satu majlis keluarga.

Iklan

Ketika berada di rumah tersebut, dia dilaporkan masuk ke dalam sebuah bilik bersama bayinya sebelum memberi racun kepada kanak-kanak itu.

Pada waktu malam, sekitar jam 9 malam, Yashwanth pulang dari tempat kerja.

Iklan

Apabila mendapati pintu bilik tidur berkunci dari dalam, dia memecah masuk dan menemui isterinya serta anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kedua-duanya kemudiannya disahkan meninggal dunia dan Yashwanth segera memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Melihat keadaan anak perempuan dan cucunya terbujur kaku, Lalitha yang tidak dapat menanggung trauma tersebut didakwa cuba membunuh diri.

Bagaimanapun, dia sempat dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada pertikaian rumah tangga antara pasangan berkenaan.

Pihak polis telah menghantar mayat mangsa untuk proses bedah siasat dan kini sedang merakam keterangan daripada ahli keluarga serta saksi lain bagi mengenal pasti urutan sebenar kejadian.