SHANGHAI - Di sebuah kompleks canggih, sekumpulan jurutera sedang memasang robot manusia dengan penuh ketelitian manakala barisan unit baharu yang siap dikeluarkan sedia untuk pemeriksaan kualiti.
Di zon ujian pula, sebanyak 100 robot manusia sedang dilatih untuk melaksanakan tugasan harian seperti menghidang teh, melipat pakaian dan menyusun meja dalam persekitaran simulasi yang merangkumi kafe serta ruang kediaman.
Menurut AgiBot, sebuah syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang mengendalikan kilang di zon khas Lin-gang, hab pengeluaran pertama bagi robot manusia di Shanghai, ia telah mengeluarkan lebih daripada 1,500 unit meskipun baru beroperasi tidak sampai setahun.
"Kami merancang untuk membuka kilang kedua dalam masa terdekat dan menyasarkan kapasiti tahunan sebanyak 10,000 unit,” kata pengasas bersama syarikat itu, Peng Zhihui.
Tahun 2025 dijangka menjadi detik permulaan pengeluaran besar-besaran robot manusia berikutan syarikat gergasi dan pemula teknologi di Beijing kini berlumba-lumba mempamerkan keupayaan teknologi serta pengilangan masing-masing.
Senarai 100 syarikat global berkaitan robot manusia yang dikeluarkan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Morgan Stanley, baru-baru ini menunjukkan sebanyak 37 firma tersebut berasal dari China termasuk UBTech Robotics dan BYD.
Robot manusia merupakan contoh sempurna bagi 'AI berbentuk fizikal' (embodied AI) iaitu gabungan perkakasan fizikal dengan teknologi AI.
Menurut garis panduan Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, negara itu menyasarkan untuk membangunkan sistem inovasi bagi robot manusia dengan pencapaian dalam teknologi utama bagi memastikan bekalan komponen teras yang selamat dan berkesan.
Menjelang 2027, Beijing dijangka memiliki sistem industri dan rantaian bekalan robot manusia yang selamat dan boleh dipercayai serta produk berkaitan akan disepadukan sepenuhnya dalam ekonomi sebenar.
Trend terkini
Pengarah makmal utama negara bagi sistem AI multimodal, Qiao Hong berkata, China telah mencatatkan kemajuan pesat dalam bidang robotik dan AI serta mendahului perlumbaan dalam teknologi itu.
"Dalam tempoh tiga tahun lalu, Beijing menyumbang lebih separuh daripada pemasangan robot industri di seluruh dunia selain kenderaan robotik ekspedisi ke bulan berjaya membawa pulang sampel batuan,” katanya.
Hong turut menyatakan bahawa pembangunan robot manusia merupakan bidang yang amat berpotensi kerana China telah membina asas teknologi yang kukuh bagi pengeluaran sistem robotik berprestasi tinggi secara besar-besaran di samping kos efektif.
Laporan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi menjangkakan pasaran robot manusia di Beijing berkembang kepada lebih 100 bilion yuan (RM58.6 bilion) menjelang 2030, meningkat daripada 2.76 bilion yuan (RM1.6 bilion) pada tahun 2024.
Goldman Sachs Research pula meramalkan bahawa pasaran global robot manusia boleh mencecah AS$154 bilion (RM650 bilion) dengan unjuran optimis sehingga AS$205 bilion (RM865 bilion) menjelang 2035.
Sejak awal tahun lalu, robot manusia telah menjadi trend terkini dalam industri automotif.
Kira-kira 15 pengeluar kereta tempatan termasuk GAC, SAIC, XPeng, Chery dan Xiaomi bersama syarikat rantaian bekalan seperti Huawei, Horizon Robotics dan Hesai Technology telah menyertai perlumbaan pembangunan robot manusia.
Kajian industri menunjukkan kira-kira 70 peratus aktiviti pembuatan di China kini dijalankan oleh mesin dan automasi kerana robot manusia lebih fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang kompleks.
Menjelang 2030, Zheshang Securities menganggarkan sektor pembuatan di Beijing dan Washington masing-masing akan memerlukan 1.1 juta dan 583,000 robot manusia, sekali gus menunjukkan potensi pasaran yang sangat besar.
Pembangunan robot manusia bagaimanapun masih berada pada peringkat awal dan terdapat beberapa kelemahan termasuk dalam reka bentuk fungsi, halangan teknologi dan cabaran kos yang perlu diatasi. - Agensi