TEHERAN - Gelombang protes di Iran semakin memuncak di beberapa bandar utama seluruh negara pada Sabtu susulan gesaan Putera Mahkota terakhir dinasti Pahlavi kepada demonstran untuk menawan pusat bandar.
Reza Pahlavi, 65, yang merupakan anak kepada Shah Mohammad Reza Pahlavi yang digulingkan Revolusi 1979 bertindak membakar semangat penunjuk perasaan setelah demonstrasi berlarutan selama hampir dua minggu.
"Matlamat kami bukan sekadar untuk turun di jalanan. Kami akan menguasai ibu kota Teheran. Saya akan segera kembali ke tanah air," kata Pahlavi yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS) menerusi mesej video di platform media sosial.
Siri demonstrasi itu telah menjadi salah satu cabaran besar kepada pihak berkuasa teokratik (kuasa politik dikawal pemimpin agama) yang telah memerintah Iran sejak lebih empat dekad lalu.
Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei juga menyalahkan campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang memburukkan lagi protes tersebut.
Bagi mengekang kemaraan demonstran, pemerintah turut menyekat akses kepada internet yang berlarutan selama kira-kira 36 jam.
Di daerah Saadatabad di ibu kota, peserta protes bertindak mengetuk periuk sambil melaungkan slogan antikerajaan dan 'Pahlavi akan kembali'.
Demonstrasi di beberapa lokasi dilaporkan bertukar ganas selepas pasukan keselamatan didakwa menggunakan tindakan kekerasan ke atas demonstran. - AFP