FAREWELL SPIT – Enam ekor paus jenis pilot ditemui mati selepas terdampar di sebuah pantai terpencil di Pulau Selatan, New Zealand pada Khamis lapor BBC.
Menurut laporan, sejumlah 55 ekor paus dilaporkan terkandas di kawasan berkenaan, namun sebahagian besar berjaya kembali ke laut.
Rakaman video Project Jonah menunjukkan para sukarelawan sedang bertungkus-lumus menyelamatkan 15 ekor lagi yang masih hidup di pantai sepanjang satu kilometer itu dengan menyiram air bagi menyejukkan badan mamalia berkenaan.
“Apabila air pasang, kami perlu bertindak pantas untuk mengumpulkan paus-paus ini dan membawa mereka ke perairan yang lebih dalam.
“Cubaan untuk mengapungkan semula paus-paus itu dijadualkan pada petang ini, namun masa amat terhad. Kami perlu lakukan semua itu sebelum air surut semula,” kata Louisa Hawkes daripada Project Jonah.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand turut mengerahkan pegawai, bot dan dron bagi memantau situasi serta mengelakkan kejadian terdampar tambahan.
Farewell Spit, yang terletak di hujung utara Pulau Selatan, digelar sebagai ‘perangkap paus semula jadi’ kerana bentuk pantainya yang landai dan pasang surut yang cepat, sekali gus mudah mengelirukan paus yang sedang bermigrasi.
Pada Februari 2017, lebih 400 ekor paus pilot sirip panjang terdampar di kawasan sama, menjadikannya insiden terbesar dalam sejarah bagi tempoh lebih 100 tahun di New Zealand.