BANGKOK - Seorang pekerja pengubahsuaian berdepan detik mengerikan ketika membaiki kediaman berasingan dua tingkat.
Bangkok Post melaporkan Kanchana Charoenthong, 59, sedang membersihkan siling tingkat dua di daerah Lam Luk Ka, Pathum Thani di Thailand apabila tengkorak manusia jatuh secara tiba-tiba dari sebuah lubang.
Ia kemudiannya membawa kepada penemuan rangka lengkap berpakaian, pemotong wayar dan kad pengenalan pekerja migran warga Kemboja.
Siasatan awal mendapati mangsa mungkin maut akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri pendawaian dari hartanah tersebut yang tidak berpenghuni.
Menurut Kanchana, terdapat bau menyengat pada rumah itu ketika dia memulakan kerja mengubah suai pada bulan lalu.
"Saya menyangka ia mungkin berpunca daripada bangkai haiwan," ujarnya.
Penyiasat mendakwa mangsa merupakan pekerja binaan berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang kira-kira dua tahun lalu.
Penduduk setempat memberitahu rumah itu ditinggalkan selama beberapa tahun dan kecurian wayar adalah perkara biasa di kawasan berkenaan.
Difahamkan, keluarga mangsa pernah cuba menjejakinya sebelum kembali ke Phnom Penh setelah usaha itu gagal.
Rangka tersebut telah dihantar ke Institut Sains Forensik Pusat untuk mengesahkan identitinya. - Agensi