GEORGE TOWN – Projek Kereta Kabel Bukit Bendera tidak melibatkan sebarang perbelanjaan daripada kerajaan negeri, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi melalui Inisiatif Kewangan Swasta, tegas Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP).
Dalam satu kenyataan, PBBPP menjelaskan bahawa projek itu telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam industri rel, melalui Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan model reka bentuk, kewangan, bina, kendali dan pemindahan (DFBOT).
Menurut kenyataan itu, konsesi diberikan selama 30 tahun bermula dari tarikh pelaksanaan projek.
"Pemilihan Hartasuma dibuat melalui proses Request for Proposal (RFP) yang diumumkan pada 14 Disember 2022.
"Syarikat itu bekerjasama dengan Doppelmayr Seilbahnen GmbH dari Austria, yang merupakan peneraju global dalam teknologi ropeway," katanya pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, nilai pelaburan projek dianggarkan sebanyak RM245 juta, berdasarkan penilaian kos semasa RFP dimulakan pada 2021 dengan mengambil kira cabaran ekonomi pasca Covid-19, termasuk inflasi, kenaikan harga bahan dan buruh serta pelarasan jajaran laluan bagi memastikan daya tahan jangka panjang sistem tersebut.
Pembinaan projek ini melibatkan beberapa komponen termasuk Stesen Utama Garden Station berhampiran Taman Botani Pulau Pinang, Turn Station, Hill Station di puncak Bukit Bendera, tempat letak kereta bertingkat dengan plaza komersial, serta kawasan parkir bas dan hentian bas.
"Projek ini akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan kesesuaian dengan alam sekitar dan keharmonian landskap.
"Ia merupakan projek strategik yang dijangka memberi impak besar kepada industri pelancongan negeri dan membawa manfaat sosioekonomi kepada masyarakat setempat," katanya.
Selain itu, kereta kabel berkenaan turut dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Taman Botani, terutama pada musim puncak, selain meningkatkan kemudahan untuk penduduk dan pelancong.
"PBBPP dan Hartasuma kekal komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar serta manfaat ekonomi jangka panjang, sejajar dengan status Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera UNESCO.
"Projek ini turut berperanan sebagai laluan alternatif ketika kecemasan dan diharap dapat memperkukuh lagi daya tarikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang," tambah kenyataan itu lagi.