MELAKA - Suami kepada seorang warden wanita yang maut digilis lori simen dalam kemalangan tragis di Lebuh SPA pada Jumaat memaklumkan bahawa isterinya menunjukkan perubahan sikap sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Suami mangsa, Mohd Izham Rosly berkata, dua minggu kebelakangan ini, isterinya, Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42, kerap meminta untuk dicium di dahinya.
"Pagi hari kejadian merupakan kali terakhir kami bertemu. Perubahannya itu tidak saya jangka.
"Dalam tempoh dua minggu ini, dia minta saya cium dahinya. Sebelum ini tak pernah, hanya salam dan cium pipi sahaja,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau sempat ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa isterinya.
"Ketika sampai di tempat kejadian, saya nampak isteri berada di bawah lori dan tertutup.
"Saya cuba ke sana, tapi tidak dibenarkan. Selepas mendapat pengesahan daripada pegawai penyiasat, barulah saya bergerak ke hospital,” katanya.
Mohd Izham turut menasihati pemandu kenderaan berat supaya sentiasa memeriksa keadaan lori sebelum memulakan perjalanan dan lebih berwaspada di jalan raya.
"Kepada pemandu kenderaan berat, periksalah kenderaan sebelum bergerak. Apa yang berlaku ini dipercayai berpunca daripada masalah sistem brek.
"Saya tidak tahu apa yang dikejarkan sehingga terlalu laju dan menggunakan laluan kecemasan. Laluan itu sepatutnya tidak digunakan oleh kenderaan berat,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang Khamis, mangsa yang bertugas sebagai warden penjara di Jabatan Penjara Dusun Dato Murad disahkan maut selepas tersepit di bawah lori simen, dengan kecederaan parah pada beberapa anggota badan termasuk kaki dan muka.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan menunggang motosikal Yamaha Ego Solaris dan sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Lori simen yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun, dipercayai mengalami masalah brek sebelum cuba mengelak ke bahu jalan dan seterusnya menggilis mangsa.