BATU PAHAT - Tangisan seorang bayi kedengaran berhampiran sebuah kereta yang terbalik dan terbakar di Kilometer 19, Jalan Kluang-Batu Pahat berdekatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, bayi perempuan berusia 10 bulan tersebut dilaporkan cedera parah di kepala, manakala ibunya turut mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dipercayai akibat tayar pecah.
Terdahulu, tular video berdurasi 53 saat memaparkan beberapa pengguna jalan raya berlari ke lokasi kejadian ketika kereta berkenaan sedang marak terbakar.
Kedengaran tangisan bayi berhampiran kenderaan yang terbakar itu, manakala seorang mangsa dilihat terbaring tidak sedarkan diri bersebelahan bayi berkenaan.
Keadaan kereta tersebut juga remuk dan rosak teruk.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata, kereta itu dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama isterinya berumur 41 tahun dan bayi perempuan mereka sebagai penumpang.
“Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri manakala isterinya cedera di kepala. Kedua-duanya dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
“Bayi mereka pula mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Zon Merah HSNI,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.