Pasangan bersekedudukan lebih 3 tahun ditahan JAINJ, punya anak luar nikah

Iklan
Operasi dilakukan JAINJ di sebuah rumah teres di Kluang. - Foto JAINJ

KLUANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang lelaki bujang dan seorang wanita berstatus janda kerana disyaki berkhalwat serta berzina dalam satu serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di daerah ini, awal pagi Jumaat.

Serbuan hasil aduan awam itu dijalankan kira-kira jam 3 pagi sebelum waktu sahur.

Iklan
Iklan

Pemeriksaan mendapati pasangan terbabit berada bersama di dalam rumah berkenaan tanpa ikatan pernikahan yang sah.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 20-an itu bekerja di sekitar Kluang, manakala wanita terbabit juga berusia 20-an merupakan seorang janda.

Iklan

Turut berada di dalam rumah berkenaan ialah seorang kanak-kanak yang kemudiannya disahkan sebagai anak wanita terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati pasangan ini telah tinggal bersama di rumah berkenaan lebih tiga tahun seperti suami isteri walaupun tidak bernikah.

Iklan

"Kanak-kanak yang berada bersama mereka disahkan sebagai anak luar nikah hasil hubungan pasangan ini dengan dokumen kelahiran tanpa nama bapa,” katanya.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mendapati terdapat bilik tidur utama dengan katil yang digunakan, selain pakaian lelaki dan wanita disimpan bersama, sekali gus menguatkan syak wujudnya perbuatan bersekedudukan.

"Pasangan berkenaan mengaku bukan suami isteri dan bukan mahram. Mereka turut memaklumkan mempunyai hasrat untuk bernikah namun mendakwa berdepan beberapa masalah peribadi.

"Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berkhalwat dan Seksyen 23 kerana kesalahan zina.

"Kes diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan Syariah JAINJ untuk tindakan lanjut," katanya.