Anak, menantu kumpul duit hadiahkan peluang haji

Iklan
Sulong dan Timah Wahab.

SEPANG – Pengorbanan membesarkan tujuh orang anak akhirnya dibalas dengan penuh makna apabila pasangan warga emas, Sulong Othman, 76, dan Timah Wahab, 74, dari Kuala Rompin, Pahang terpilih menunaikan ibadah haji musim ini hasil inisiatif serta usaha anak-anak mereka.

Menurut Sulong, beliau tidak pernah menyangka akan diberi peluang untuk menunaikan haji selepas sekian lama hidup sederhana sebagai petani di kampung.

Iklan
Iklan

"Saya tidak ada simpanan khusus untuk menunaikan haji selama ini kerana tanggungjawab cuma membesarkan anak-anak dengan penuh tanggungjawab.

"Rezeki datang apabila anak-anak sepakat mengumpul wang dan berusaha mendapatkan tempat untuk saya serta isteri,” katanya ketika ditemui di Movenpick Hotel & Convention Centre pada Isnin.

Iklan

Katanya, semua anak-anak serta menantu telah berganding bahu termasuk membuat semakan dan rayuan untuk memastikan kedua-dua orang tua itu dapat menunaikan rukun Islam kelima.

"Saya sangat bersyukur dengan bantuan dan keprihatinan anak-anak. Alhamdulillah, Tabung Haji juga banyak membantu. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan kami,” katanya.

Iklan

Pasangan itu juga berkata kedua-duanya tidak pernah mengimpikan untuk menunaikan haji kerana sedar kemampuan mereka yang terhad.

"Bila umur semakin meningkat, kami tidak tahu sampai bila hayat kami. Anak-anak kata kalau bukan sekarang, bila lagi? Kami amat terharu dengan kasih sayang dan pengorbanan mereka,” kata Sulong.

Sulong dan Timah mempunyai tujuh orang anak dan lebih 35 cucu serta cicit.

Mereka ditemani sebahagian ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan sebelum pasangan itu berangkat ke Tanah Suci.

"Kami hanya orang kampung. Kerja pun tidak tetap, sekadar membantu di ladang atau kebun. Alhamdulillah, semua ini ketentuan ALLAH dan doa kami dimakbulkan,” katanya.

Bahruddin dan Latifah.

Kisah yang sama turut dikongsi Bahruddin Ahmad, 59, dan isterinya, Latifah Ismail, 56, apabila penantian selama 16 tahun berakhir apabila mereka terpilih menunaikan ibadah haji musim ini.

Bahruddin berkata, beliau mula menabung di Tabung Haji sejak mula bekerja kira-kira 32 tahun lalu namun hanya mendaftar sebagai bakal jemaah haji pada 2009.

Ketika itu mereka sepatutnya dijadualkan menunaikan haji pada 2026, tambahnya.

"Apabila kami melihat tempoh menunggu agak lama, kami segera mendaftar. Selepas bersara baru-baru ini, kami membuat rayuan.

"Alhamdulillah rayuan itu diterima pada malam 27 Ramadan iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri. Kami sangat bersyukur dan teruja apabila mendapat panggilan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Movenpick di sini.

Menurut Bahruddin, mereka dimaklumkan penerimaan rayuan agak lewat dan ia umpama rezeki pada saat akhir.

"Memang kami berdua sahaja tinggal di rumah. Anak-anak semua faham dan memberikan sokongan penuh walaupun kami perlu tinggalkan mereka sementara untuk menunaikan rukun Islam kelima ini,” katanya.

Mohd Hairie dan Jairoby.

Sementara itu bagi pasangan suami isteri, Mohd Hairie Azali, 45, dan isterinya, Jairoby Salleh, 40, Impian untuk menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka terpilih sebagai jemaah haji Malaysia musim ini.

Mohd Hairie yang bekerja sebagai juruteknik tanaman sawit di Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) berkata, beliau telah membuka akaun Tabung Haji sejak tahun 2007, namun hanya mendaftar haji selepas pulang menunaikan umrah bersama keluarga pada 2009.

"Ketika itu saya masih bujang dan tidak mengenali isteri lagi. Selepas balik dari umrah barulah saya dimaklumkan bahawa perlu mendaftar haji. Saya terus mendaftar dan akhirnya selepas 16 tahun saya menerima surat tawaran,” katanya.

Difahamkan isterinya pula mengemukakan rayuan untuk menunaikan haji bersama dan bersyukur apabila permohonan tersebut diterima.

"Untuk bayaran haji saya sediakan kira-kira RM8,000 dalam akaun dan selebihnya saya gunakan simpanan lain yang ada. Saya dapat kategori M40 dengan bayaran haji sebanyak RM23,500 selepas subsidi RM9,000 lebih yang diberikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hairie berkata, kadar bayaran yang dikenakan kepada isterinya juga adalah sama iaitu RM23,500.