Pertikaian Petronas-Sarawak meruncing

Iklan
Petronas Carigali menerima notis daripada kerajaan negeri berhubung Terminal Minyak Mentah Miri yang didakwa dilakukan secara tidak sah.

SHAH ALAM - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Jumaat mengesahkan bahawa anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), menerima notis pada 30 April 2025, daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas, yang didakwa dilakukan secara haram.

Syarikat minyak negara itu bagaimanapun memberitahu bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.

Iklan
Iklan

"Meskipun kita menghormati aspirasi negeri Sarawak, Petronas juga mempunyai kewajipan untuk menegakkan PDA 1974 ini dan menjaga kepentingan negara.

"Petronas akan terus terlibat secara konstruktif dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dan Petros dalam meneroka pengaturan masa depan untuk memastikan kejelasan peraturan dan kesinambungan operasi untuk manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Iklan

Petronas menekankan bahawa ia komited untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak, termasuk pengguna akhir dan pelabur, ditangani dengan sewajarnya.

Terdahulu, Business Times melaporkan kerajaan negeri Sarawak telah memulakan tindakan undang-undang terhadap PCSB, mendakwa syarikat itu menjalankan operasi secara haram di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT).

Iklan

Menurutnya, satu notis undang-undang bertarikh 30 April telah dikeluarkan kepada PCSB, dengan tempoh 21 hari diberikan untuk mendapatkan lesen yang diperlukan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan syarikat itu dikenakan penalti kewangan.

Laporan tersebut menyatakan Sarawak mendakwa PCSB telah melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO), iaitu undang-undang negeri yang mewajibkan lesen bagi mengendalikan saluran paip gas dan kemudahan berkaitan di negeri itu.

Perkembangan terbaharu ini menandakan pertikaian yang semakin meruncing antara kerajaan Sarawak dan Petronas, susulan usaha negeri itu untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas sumber minyak dan gas dalam kawasannya melalui syarikat milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Sarawak mencabar PDA 1974, yang memberikan kawalan penuh kepada Petronas terhadap sumber hidrokarbon negara.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan gergasi tenaga Amerika Syarikat, ConocoPhillips mengumumkan penarikan diri daripada projek minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali di luar pesisir Sarawak, yang dianggarkan bernilai RM13.7 bilion (AS$3.13 bilion) ketika pertikaian semakin meruncing antara kerajaan negeri dan Petronas.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), beberapa eksekutif industri berkata, keputusan penarikan diri tersebut didorong oleh ketidaktentuan peraturan yang berpunca daripada pertikaian berterusan antara Petronas dan kerajaan negeri.