SHAH ALAM - Karnival Teknologi dan Kreativiti Jabatan Tenaga Manusia (JTM) 2026 menjadi platform strategik dalam mengembangkan bakat serta potensi peserta merentas pelbagai lapisan bagi melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdaya cipta.
JTM dalam satu kenyataan berkata, program akan diadakan pada 11 hingga 12 Februari 2026 di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Taiping dengan tema 'Inovasi Inklusif, Aspirasi Progresif' selepas kejayaan penganjuran di Jerantut, Pahang pada 2025.
"Fokus utama adalah untuk melangkaui sempadan kemahiran sedia ada dengan menyediakan ruang kepada peserta meneroka inovasi termaju, selain memperkukuh daya cipta dan pemikiran kompetitif sejajar dengan keperluan industri masa hadapan.
"Karnival ini turut menjadi platform penting dalam memartabatkan kecemerlangan TVET di bawah JTM," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, karnival itu menjadi bukti bahawa laluan pendidikan berteraskan kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merupakan pilihan arus perdana yang kompetitif, berprestij dan relevan dalam melahirkan modal insan negara yang berkemahiran tinggi untuk pembangunan negara.
JTM memaklumkan, seramai 7,000 orang pengunjung karnival disasarkan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) serta Institut Latihan Kemahiran Awam/Swasta (ILKA/ILKS).
Menurutnya, penganjuran turut diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama agensi awam, sektor swasta dan rakan industri bagi mengeratkan hubungan antara JTM dan komuniti setempat.
Sebagai pengisian utama, JTM menganjurkan Pertandingan Inovasi yang merangkumi pelbagai bidang strategik antaranya Automasi Pembuatan dan Reka Bentuk Perindustrian, Bahan dan Bioteknologi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Telekomunikasi, Audio Visual, Alam Sekitar dan Tenaga.
Turut dipertandingkan, bidang Automotif, Aeroangkasa, Teknologi Penerbangan, Pengangkutan Laut dan Udara, Peralatan, Elektrik dan Elektronik, Jentera serta Pendidikan.
Sebanyak 340 projek inovasi telah didaftarkan melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran serta wakil agensi awam dan swasta dari seluruh negara.
Selain pertandingan inovasi, karnival ini turut menampilkan pameran TVET dan industri, Karnival Kerjaya oleh PERKESO, pocket talks, Eksplorasi TVET, khidmat komuniti serta Jualan Rahmah untuk menarik minat pengunjung.