SHAH ALAM - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) hari ini mula menyalurkan bantuan persekolahan kepada 466 pelajar terdiri daripada anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Setiap pelajar yang berusia di antara enam sehingga 17 tahun itu akan menerima bantuan sebanyak RM300.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah sokongan kewangan bagi membantu menampung keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam, buku, alat tulis dan kos berkaitan pembelajaran.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan YKM untuk memastikan kebajikan dan masa depan pendidikan anak-anak yang terkesan oleh pandemik terus terpelihara.
“Saya ingin menegaskan bahawa pendidikan adalah teras utama perjuangan yayasan ini. Bermula tahun ini juga semua anak YKM yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mendapat tuisyen secara dalam talian percuma dan kita akan memantau prestasi akademik mereka dari semasa ke semasa.
“Melalui sokongan kewangan, bimbingan dan program pembangunan, YKM berusaha memastikan anak-anak ini tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan yang terbaik bagi mengubah hidup mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, YKM menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anak-anak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya akibat pandemik Covid-19 supaya menghubungi YKM untuk pendaftaran dan penilaian bantuan.
"Tiada anak yang seharusnya tercicir hanya kerana tragedi yang berlaku di luar kawalan mereka.
"Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web https://yayasankeluargamalaysia.org.my atau talian 01153421005," jelasnya.