KUALA SELANGOR - Sebanyak RM100,000 sudah dibayar kepada ansuran bulanan bank, namun rumah masih belum dapat diduduki.
Itu situasi yang dialami pembeli projek perumahan Taman Mutiara di sini yang terpaksa menanggung beban kewangan berganda sejak lima tahun lalu akibat kegagalan pemaju menyiapkan rumah dalam tempoh dijanjikan.
Wakil pembeli, Anas Anwaruddin Rosli, 38, berkata, pembeli membuat bayaran bulanan penuh kepada institusi kewangan sejak tahun 2018, namun sehingga kini masih belum menerima kunci rumah.
"Kami tertekan kerana terpaksa berhabis duit bayar rumah setiap bulan dan pada masa sama terpaksa menanggung bayaran sewa kerana belum boleh berpindah masuk," katanya ketika ditemui selepas sesi 'Town Hall' bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh, pemaju dan agensi berkaitan di sini pada Jumaat.
Anas Anwaruddin memberitahu, tempoh pembinaan sepatutnya mengambil masa dua tahun dan rumah dijanjikan siap sepenuhnya pada 2022, namun pemaju memberi pelbagai alasan termasuk masalah dokumen dan pelan bangunan yang tidak diluluskan.
"Kebanyakan pembeli adalah pemilik rumah pertama dan kami tidak sangka terpaksa menunggu sebegini lama,” jelasnya.
Menurutnya, pembeli kini hilang keyakinan terhadap pemaju yang didakwa sering memberi tarikh palsu kononnya rumah akan diserahkan sempena sambutan perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha tahun lalu.
Sehingga kini, katanya, lebih 97 pembeli menyertai kumpulan komunikasi khas bagi menyelaraskan tindakan susulan termasuk mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa dan wakil rakyat.
"Kami sudah putuskan untuk membuat laporan polis kerana kami yakin ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan projek ini,” jelasnya.
Tambahnya, kali terakhir perjumpaan diadakan bersama pemaju pada 10 April lalu dan janji terbaru penduduk menerima kunci rumah menjelang Jun ini.
"Tahun lalu dijanjikan bulan Jun, kemudian Disember, selepas itu tahun baru dan hari ini katanya bulan enam nanti, kami tidak mahu tertipu lagi,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Emil Nordin, 49, berkata, dia terpaksa menyewa rumah lain dan menanggung kos sara hidup lapan anak termasuk enam yang masih bersekolah.
"Bayangkan rumah sudah ada, tapi tidak boleh diduduki dan setiap bulan saya bayar pinjaman dan pada masa sama kena bayar rumah sewa RM600 hingga RM700 sebulan.
"Saya dah tiga kali tangguhkan untuk keluar dari rumah sewa sekarang, mujur tuan rumah benarkan saya terus menyewa,” katanya
Menurutnya, pemaju pada awalnya menjanjikan tempoh siap rumah dalam masa 24 bulan selepas menandatangani perjanjian jual beli dan jika ikut kiraan itu, rumah sepatutnya sudah siap sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020.
"Kalau ikut jadual, seminggu sebelum PKP kami dah boleh masuk rumah, tapi sekarang sudah lima tahun kami tunggu, namun kecewa apabila ditanya pemaju maklumkan PKP punca kelewatan," jelasnya.
Sementara itu, Nurul Syazwani berkata, pihaknya mengadakan sesi town hall itu bagi menangani isu bukan sahaja di Taman Mutiara tetapi membabitkan projek 'sakit' Rumah Selangorku di Taman Sungai Yu Indah.
Jelasnya, hasil perbincangan itu, kedua-dua pihak pemaju terbabit memberikan komitmen untuk menyelesaikan masalah itu selewatnya Jun depan.
"Saya sudah terima hampir 40 aduan rasmi daripada pembeli Taman Mutiara yang terpaksa bayar ansuran pinjaman rumah sejak lima tahun lalu tetapi masih belum boleh menduduki rumah masing-masing.
"Mereka juga perlu tanggung kos rumah sewa, bil api serta cukai tanah dan sudah tentu beban kewangan berganda ini terlalu lama ditanggung,” katanya.
Menurut Nurul Syazwani, beliau sebelum ini telah membawa isu projek ‘sakit’ itu ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa kali dan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pemaju termasuk secara dalam talian dan fizikal.
Bagaimanapun katanya, pemaju terus gagal menepati tarikh penyerahan kunci termasuk jaminan sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Mengulas mengenai kelewatan serah kunci di Taman Yu Indah pula, Nurul Syazwani memaklumkan, projek itu itu tersenarai sebagai projek sakit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, antara isu utama projek itu adalah kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang tergantung kerana dokumen berkaitan masih belum lengkap.
"Difahamkan sebahagian besar isu membabitkan Air Selangor, misalnya tangki sudah ada, konsultan pun katanya sudah sediakan dokumen dan akan dihantar segera.
"Kalau ikut maklumat daripada agensi yang hadir tadi, dua minggu saja diperlukan untuk keluarkan surat sokongan Air Selangor, asalkan dokumen lengkap,” katanya.
Beliau turut menekankan projek ini adalah di bawah skim Rumah Selangorku, justeru kerajaan negeri diharap memberi perhatian khusus bagi memastikan kebajikan pembeli terpelihara.
"Saya minta kerajaan negeri campur tangan kerana LPHS (Lembaga Perumahan Hartanah Selangor) sendiri maklum mereka tiada kuasa untuk beri bantuan langsung dan perlukan tindakan daripada peringkat tertinggi,” katanya