SHAH ALAM - Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menafikan dakwaan kononnya beliau mengarahkan penutupan sekolah-sekolah agama di negeri ini.
Beliau menjelaskan, kenyataan yang tular itu berpunca daripada salah faham satu dokumen yang dikongsikan seorang pengguna media sosial pada aplikasi Threads.
"Dokumen yang dikongsi itu sebenarnya hanyalah surat peringatan daripada JAIS kepada sekolah-sekolah rendah agama yang belum berdaftar yang dikeluarkan pada November tahun lalu.
"Dokumen itu bukan datang daripada saya dan tiada arahan untuk menutup sekolah-sekolah agama diberikan, sebaliknya ia hanya peringatan susulan kerana sekolah-sekolah terbabit belum berdaftar sejak November 2024," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan, program pemutihan sekolah tahfiz swasta yang dikendalikannya telah mencapai lebih 96 peratus daripada 606 sekolah berdaftar setakat 24 Disember tahun lalu.
Jelas beliau, program itu membenarkan sekolah beroperasi sementara selama tiga tahun untuk melengkapkan syarat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk keselamatan bangunan dan kurikulum.
Mohammad Fahmi menegaskan, langkah pemutihan itu hanya melibatkan sekolah tahfiz swasta dan tiada program serupa dilaksanakan untuk sekolah agama lain setakat ini.
Bagaimanapun, pihaknya akan mempertimbangkan pelaksanaan program serupa bagi sekolah agama pada masa depan bagi memastikan operasi sekolah lebih teratur dan selamat.
"Tujuan penguatkuasaan ini adalah untuk memastikan keselamatan murid, kelayakan guru, kesahihan kurikulum serta mengelakkan penyalahgunaan sekolah bagi tujuan pengumpulan derma atau ajaran sesat.
"Sekiranya ada sekolah perlu ditutup, murid dan guru akan dipindahkan ke sekolah sah yang lain kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan umat Islam terjaga," jelas beliau.
Terdahulu, menerusi aplikasi Threads, seorang pemilik akaun mempersoalkan tindakan JAIS berhubung penutupan sekolah Islam swasta di Selangor.
Pemilik akaun itu mendakwa arahan daripada Mohammad Fahmi melebihi amanah ALLAH.