KUALA LANGAT – Isu bau busuk daripada ladang babi yang telah beroperasi sejak puluhan tahun lalu terus menjadi keluhan penduduk di Tanjung Sepat, khususnya apabila lori membawa haiwan ternakan itu melalui kawasan perumahan hampir setiap hari.
Penduduk mendakwa bau yang terlalu kuat, selain air daripada lori yang menitis ke jalan, bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian malah menjejaskan keselesaan, kesihatan, perniagaan serta potensi pelancongan di kawasan pantai berkenaan, sekali gus mendorong mereka menyokong cadangan pemindahan ladang babi seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.
Amir Sharifuddin Abd Rahman, 75, berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa mengelak daripada mengikuti belakang kenderaan terbabit kerana bau yang terlalu kuat, selain air daripada lori dipercayai menitis ke atas jalan.
"Kami akan berhenti jika ternampak lori babi lalu kerana tidak sanggup menghidu bau busuk itu. Malah, air dari lori juga boleh terpercik ke atas jalan," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Amir Sharifuddin yang menetap di Taman Mutiara berkata, keadaan itu lebih ketara pada waktu pagi apabila lori terbabit menggunakan laluan utama untuk menghantar ternakan ke rumah sembelih.
Katanya, walaupun jumlah ternakan kini semakin berkurangan susulan pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF), penduduk masih tidak selesa dengan operasi ladang yang masih aktif.
Selain bau, aktiviti penternakan itu juga dikaitkan dengan pencemaran sungai dan laut yang telah menjejaskan kehidupan penduduk setempat sejak bertahun-tahun lalu.
"Isu ini sudah lebih 10 tahun tidak selesai. Sebab itu kami memang menyokong penuh cadangan pemindahan ladang babi seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Muhaidin Abdul Rafor, 59, turut menyuarakan sokongan terhadap titah Sultan Selangor agar ladang babi dipindahkan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil kerana isu itu sukar diselesaikan melalui saluran politik semata-mata.
"Kalau ikut politik, memang susah nak selesaikan kerana melibatkan kepentingan pengundi. Tapi bila Sultan murka, saya rasa tindakan sewajarnya perlu diambil," jelasnya.
Menurutnya, pemindahan ke lokasi yang jauh dari penempatan penduduk adalah lebih wajar kerana ketika ini ladang babi berada terlalu dekat dengan kampung Melayu ada yang hanya satu hingga dua kilometer sahaja.
Mohd Muhaidin turut mendakwa aktiviti penternakan itu memberi kesan besar kepada alam sekitar termasuk pencemaran air, kerosakan sistem perparitan dan gangguan terhadap ekosistem laut.
Katanya, pelancong dan pengunjung juga berasa bimbang untuk menginap di kawasan sekitar kerana bau busuk.
"Kalau hujan, bau busuk itu merebak hingga ke taman-taman perumahan berhampiran. Di sini ada lebih 10 taman perumahan dengan anggaran 2,000 hingga 3,000 penduduk majoritinya Melayu," katanya.
Peniaga makanan, Nurul Ashikin Abu Bakar, 33, pula berkata, bau busuk daripada lori ternakan babi yang melalui kawasan perumahan didakwa menjejaskan perniagaannya.
"Apabila lori-lori ini lalu, pelanggan yang ingin singgah makan pun hilang selera. Kadang-kadang sedang makan pun mereka tanya bau apa, terus jadi tak lalu makan," ujarnya.
Menurutnya, bau tersebut biasanya berlaku antara jam 6 hingga 7 pagi, dan situasi sama turut berlaku pada waktu petang apabila lori ternakan lain melalui laluan tersebut.
Dia yang sudah berniaga dan menetap di kawasan itu lebih 15 tahun berkata, pemindahan ladang akan memberi peluang pembangunan pelancongan di kawasan pantai berhampiran.
"Kalau ladang itu dipindahkan, kawasan ini boleh dibangunkan. Pantai pun boleh dijadikan kawasan rekreasi dan tarikan pelancong," katanya.
Jelasnya, peniaga yakin sekiranya isu itu diselesaikan, ia akan memberi kesan positif kepada ekonomi setempat dan menarik lebih ramai pengunjung ke Tanjung Sepat.
Sementara itu, peniaga di Jeti Dataran Pantai Tanjung Sepat, Farah Huda Fairus Shaba, 33, berkata pemindahan ladang babi berpotensi meningkatkan jumlah pelancong sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
"Kalau ikutkan, memang ada masalah bau sebelum ini. Malah dalam ulasan Google Review pun ada pengunjung yang komen pasal bau babi," katanya.
Menurutnya, keadaan kini semakin baik berikutan pengurangan ternakan, namun penduduk masih berharap agar pemindahan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
"Sekarang bau dah kurang sebab ternakan pun berkurang, mungkin juga kerana penyakit. Tapi kita tak pasti keadaan ini akan kekal sampai bila," ujarnya.
Beliau berkata, pencemaran sebelum ini turut menjejaskan ekosistem laut termasuk hidupan seperti kerang yang sukar ditemui.
"Dulu kerang susah nak hidup sebab pencemaran, tapi sejak keadaan makin baik, kerang mula banyak semula," katanya.
Tambahnya, terdapat kira-kira lima hingga enam peniaga yang berniaga di jeti itu, dan pemindahan ladang dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk bersantai serta menjamu selera.
"Kalau bau dah tak ada, orang akan lebih selesa datang makan dan lepak. Ini boleh bantu peniaga kecil macam kami," katanya.
Farah Huda yang berniaga sejak 2019 berkata, jumlah pengunjung masih statik, namun aduan bau berkurangan berbanding sebelum ini.
"Pantai di sini cantik, cuma perlukan tarikan tambahan seperti aktiviti rekreasi. Kalau ada perancangan kerajaan, kawasan ini boleh jadi lebih hidup," tambahnya.