Isu 'Glamping With Pride': JAIS kerah pegawai buat pemantauan lapangan
Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan isu program songsang berkenaan. Gambar kecil: Mohammad Fahmi
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengatur penugasan pegawai di lapangan bagi tujuan pemantauan susulan isu penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa melibatkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Hulu Langat hujung minggu ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pemantauan tersebut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan tiada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan hukum syarak berlaku.
Iklan
Iklan
Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas tular infografik program berkenaan yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang disifatkan tidak senonoh dan tidak sesuai dengan norma masyarakat setempat.
“JAIS telah meletakkan pegawai-pegawai tertentu untuk memantau di lapangan dan dalam masa yang sama, pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) juga menjalankan siasatan dan pemantauan,” katanya ketika ditemui.
Iklan
Mohammad Fahmi berkata, walaupun pihak penganjur mendakwa program tersebut hanya melibatkan aktiviti sosial dan pendidikan serta terhad kepada ahli pertubuhan berkenaan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.
Katanya, pendirian tegas kerajaan negeri itu turut selari dengan kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor yang menegaskan bahawa umat Islam dilarang menyertai atau menyokong program berkaitan LGBT.
Iklan
“Majoriti masyarakat Islam di Selangor tidak menerima perlakuan LGBT dan perkara ini telah ditegaskan melalui kenyataan rasmi MAIS,” ujar beliau.
Mohammad Fahmi turut menegaskan bahawa beliau telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program berkenaan.
Menurutnya, setakat ini tiada permohonan rasmi diterima dan tiada lokasi khusus dikenal pasti, namun pemantauan akan terus dipertingkatkan.
“Sekiranya berlaku perhimpunan tanpa permit yang sah, tindakan undang-undang boleh diambil.
“Orang ramai, khususnya penduduk tempatan, digesa segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa penganjur program ‘Glamping With Pride’ tetap akan meneruskan program tersebut minggu depan walaupun menerima bantahan daripada pelbagai pihak.
Program itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu program retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Isnin menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor agar mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup LGBT di negeri ini.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam negeri Selangor.
Kerajaan Selangor mengambil langkah awal untuk menamatkan sepenuhnya kaedah penternakan babi secara tradisional di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang terbukti mencetuskan pencemaran, sebelum beralih kepada konsep penternakan moden yang diusahakan oleh pihak swasta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu pencemaran akibat aktiviti penternakan di Tanjung Sepat, Kuala Langat ditangani segera.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/763821/edisi/selangor-kl/selangor-tutup-kaedah-penternakan-babi-tradisional-cemar-sungai-alam-sekitar---amirudin
Muzik: Elevate dari www.bensound.com