GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran serendah 2.2 peratus bagi suku keempat tahun 2024, sekali gus menunjukkan pasaran buruh negeri itu kekal kukuh dan semakin optimis.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, angka itu berdasarkan dapatan Survei Tenaga Buruh (STB) yang turut merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) Pulau Pinang pada tahap 73.2 peratus.
"Ini membuktikan keyakinan orang ramai terhadap pasaran buruh semakin meningkat dan mendorong mereka untuk aktif mencari pekerjaan.
"Kerajaan negeri akan terus komited memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja melalui dasar-dasar yang inklusif serta pelbagai program latihan kemahiran yang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja pada Khamis.
Kon Yeow menambah, tema Hari Pekerja tahun ini iaitu ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ amat bertepatan dengan realiti bahawa para pekerja merupakan asas kepada kemajuan sesebuah bangsa yang inklusif dan berdaya tahan.
"Sebagai lubuk rezeki yang turut menarik tenaga kerja dari negeri-negeri jiran, Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor.
"Pulau Pinang telah mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi perdagangan antarabangsa terkemuka dengan jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan pada tahun 2024 bernilai RM17.3 bilion, melibatkan 182 projek serta mewujudkan hampir 16,254 peluang pekerjaan.
"Seiring pertumbuhan ekonomi mampan dan prestasi pelaburan yang menggalakkan, pembangunan sektor digital, hijau dan teknologi pintar akan terus menjadi tumpuan kerajaan negeri bagi memastikan para pekerja kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta semua majikan agar mengekalkan hubungan harmoni dan adil bersama para pekerja kerana kejayaan jangka panjang sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada keuntungan semata-mata.
"Ia turut melibatkan kesejahteraan dan kebahagiaan tenaga kerja.
"Marilah kita berganding bahu memperkukuh semangat muafakat demi masa depan lebih cerah untuk seluruh pekerja di negeri ini,” katanya.