Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar formaliti.
Langkah ini wajar disokong kerana mencerminkan kepentingan mendesak untuk negara merangka respons kolektif terhadap tekanan ekonomi kuasa besar dunia itu.
Malaysia tidak boleh bersikap tunggu dan lihat kerana dasar perdagangan AS semakin menjurus kepada perlindungan melampau yang turut memberikan tekanan kepada rantau ASEAN. Lebih-lebih lagi apabila tarif yang diumumkan ke atas Malaysia mencecah 24 peratus, angka yang memberi kesan terhadap keyakinan pelabur dan penggiat industri.
Lebih membimbangkan, tarif ini bukan sekadar strategi ekonomi, ia senjata geopolitik. Dalam landskap pasca-globalisasi yang semakin kucar-kacir, Malaysia mesti bersedia menyusun semula keutamaan perdagangan luar dan mengukuhkan kekuatan dalaman.
Perdana Menteri sudah memberi isyarat jelas seluruh jentera kerajaan, Persekutuan dan negeri, mesti bersiap siaga. Beliau menegaskan, semua perancangan harus segera diterjemahkan kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara.
Apa yang menarik, di tengah kegawatan ini, China mengambil pendekatan berbeza iaitu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mempersendakan Donald Trump yang merupakan pencetus ketegangan ini. Dari satu sudut, ia mungkin dilihat jenaka politik, namun ia juga mesej halus tentang bagaimana perang tarif kini menjangkaui angka dan perjanjian, ia sudah menyentuh maruah dan psikologi nasional.
Malaysia tidak perlukan meme. Kita perlukan strategi yang tuntas, data yang tepat, dan suara Parlimen yang bersatu.
Sidang khas pada 5 Mei nanti akan menjadi medan penting, bukan sahaja untuk membahaskan kesan dasar Trump tetapi juga untuk menguji sejauh mana kita sebagai sebuah negara mampu membuang perbezaan demi mempertahan kepentingan ekonomi rakyat.
Tarif mungkin digantung 90 hari, tetapi jangan kita ditipu oleh ‘bulan madu’ sementara ini. Gelombang perdagangan yang tidak menentu telah pun bermula.
Persoalannya, adakah Malaysia hanya mahu berenang di tepian, atau bersedia menyelam jauh dengan pelampung dasar yang kukuh?