TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia wajar dipuji walaupun ia memberi impak negatif kepada institusi pertahanan negara ini.
SPRM akhir-akhir ini dilihat amat berani menyiasat tanpa mengira jawatan dan siapa yang dikaitkan dengan rasuah, membuatkan rakyat melihat tindakan ini sebagai langkah awal sebelum ia terus membarah.
Ini kerana yang disiasat bukannya pada level prebet atau pegawai bawahan, sebaliknya pegawai kanan yang sepatutnya menjadi pemegang amanah kepada pertahanan dan keselamatan negara.
Walau bagaimanapun, selagi tidak disabitkan bersalah, pegawai berkenaan wajar mendapat hak dan tidak dinafikan keadilan sewajarnya dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada. Rakyat juga mahu apabila siasatan seperti ini berlaku, ia semestinya berakhir dengan pendakwaan yang tepat.
Dalam siri pendedahan demi pendedahan, kita juga perlu berterima kasih dengan usaha yang dibuat kerana sukurang-kurangnya semua pihak lebih berjaga-jaga dalam memastikan tiada lagi kebocoran dan ketirisan wang negara.
Malahan ada yang membatalkan niat untuk mencuri hasil negara yang sepatutnya diberikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Serbuan dan tindakan ini bukan lagi untuk Kementerian Pertahanan sahaja, tetapi adalah signal kepada semua rakyat Malaysia bahawa tingkah laku kita semua sedang diperhatikan oleh pihak berkuasa dan bersedia untuk mengambil tindakan mengikut perundangan dan lunas undang-undang.
Kepada SPRM, jangan lagi takut dan tunduk kepada pelaku, ambillah tindakan yang paling tegas dan buktikan transformasi salah laku dan rasuah seperti yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk mengambil tindakan terhadap pegawai tinggi yang terlibat.
Jika tidak, usaha dilaungkan Anwar untuk membersihkan negara daripada rasuah hanyalah sia-sia, tidak ubah seperti peribahasa, ayam bertelur sebiji, riuh sekampung.
Kesannya, bukan hanya SPRM, tetapi Perdana Menteri dan kerajaan memerintah juga akan terpalit daripada kegagalan pihak berkuasa membasmi rasuah.