Peniaga santan risau harga kelapa import dijangka naik lagi

Iklan
Mohd Sufi sedang menyusun bekalan kelapa biji yang diambil beberapa hari lalu.

ALOR SETAR – Peniaga santan segar di negeri ini gusar susulan harga kelapa import berkemungkinan mengalami kenaikan sekali lagi memandangkan tiada kawalan harga ditetapkan oleh kerajaan setakat ini.

Peniaga santan di Taman Wira Mergong Mohd Sufi Yazid, 41, berkata, ketika ini kenaikan tertinggi dicatatkan sebanyak RM3.20 sekilogram pada minggu lalu.

Iklan
Iklan

Dakwanya, harga bahan mentah itu telah menunjukkan peningkatan mendadak sejak Oktober tahun lalu dan terus melonjak selepas Aidilfitri.

"Ketika Oktober kenaikan harga cuma sebanyak RM1.80, kami masih boleh terima sebab tidak terlalu membebankan.

Iklan

"Semasa raya baru-baru ini, harga mentah naik hingga RM2.90 sekilogram, jadi saya jual santan pada harga RM18 sekilogram sebab kasihan kepada pelanggan walaupun untung sedikit.

"Tapi selepas raya naik lagi, minggu lepas sampai RM3.20 sekilogram dan saya terpaksa jual pada harga RM20 sekilogram sekarang ini untuk elakkan kerugian,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Mohd Sufi menunjukkan harga jualan santan di rumahnya dan notis kepada pelanggan tentang harga kelapa import yang mahal.

Menurutnya, kini terdapat ura-ura harga kelapa import akan naik lagi mencecah RM3.50 sekilogram yang mana ia jelas membebankan peniaga kecil.

"Dah sembilan tahun saya berniaga, tapi tahun ini paling teruk. Rasa nak putus asa. Kalau harga terus naik tanpa kawalan, memang ramai peniaga akan tutup kedai,” katanya yang mengambil bekalan kelapa biji sebanyak 300 kilogram dua kali seminggu.

Dakwanya, kekurangan bekalan kelapa biji dari Indonesia dipercayai menjadi punca kenaikan harga, namun beliau belum dapat pengesahan rasmi mengenainya.

"Saya harap ada campur tangan daripada kerajaan berkaitan isu kelapa ini. Bagi peniaga santan seperti kami, ini sahaja mata pencarian untuk menyara keluarga.

"Kalau kami terpaksa gulung tikar, tak tahu apa nasib kami ke depan nanti,” ujarnya.

Bagi Kasmawati Abdul Karim, 44, dari Pendang pula memberitahu dia pernah menghentikan operasi ketika kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri dari 24 Mac hingga 7 April lalu.

"Ketika itu kerajaan menetapkan harga siling RM17.50 sekilogram sepanjang tempoh berkenaan tetapi saya tidak mampu menjual pada harga tersebut disebabkan harga kelapa yang melambung,” katanya.

Jelasnya, dalam tempoh tersebut dia tidak berani menjual santan melebihi harga siling semasa kerana bimbang dikenakan denda oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) walaupun ada sesetengah peniaga berbuat demikian.

"Saya sudah hampir 20 tahun dalam perniagaan ini dan mempunyai pelanggan tetap yang mempercayai kualiti santan asli saya bekalkan.

"Beberapa hari lalu saya beroperasi semula selepas berjaya mendapatkan bekalan tetapi itulah bekalan pun tak menentu,” katanya.

Kasmawati berkata, setakat ini beliau menjual santan asli pada harga RM22 sekilogram bagi menampung kos bekalan kelapa yang tinggi serta kos operasi lain.

"Namun, jika keadaan tidak berubah dalam masa terdekat, saya mungkin perlu menghentikan operasi setiap kali bekalan kelapa tidak dapat diperoleh,” katanya.

Siti Masrurah

Sementara itu, pengusaha ketupat palas, Siti Masrurah Suhaimee, 34, berkata kenaikan harga santan turut memaksanya menilai semula harga produk yang dijualnya.

"Pernah dapat santan RM18 sekilogram, tapi itu pun yang dah merah. Nak yang betul-betul elok sekarang memang RM20 ke atas.

"Saya dah naikkan harga ketupat seringgit, tapi kalau harga santan naik lagi, saya pun terpaksa naikkan lagi harga jualan untuk tampung kos,” ujarnya.