PERANG perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang bermula pada 2018 kini semakin membarah, merangkumi sektor perdagangan, teknologi, keselamatan, diplomasi dan pengaruh serantau.
Terbaru, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif import dari China sehingga 125 peratus, namun menangguhkan peningkatan cukai bagi 75 negara termasuk Malaysia.
Tindakan ini memberi impak besar terhadap ekonomi global termasuk negara ASEAN dan Malaysia, sekali gus meletakkan negara kini berada di persimpangan antara pertelagahan dua kuasa besar.
Oleh itu, Malaysia perlu bijak memanfaatkan persaingan ini untuk meraih kelebihan dalam pelaburan dan teknologi tanpa menyebelahi mana-mana pihak secara terbuka.
Jika Malaysia cenderung kepada AS, Beijing mungkin menarik pelaburan atau menyekat akses pasaran Malaysia.
Sebaliknya, jika terlalu dekat dengan China, Washington mungkin memberi tekanan untuk mengurangkan hubungan dengan Beijing.
Selain itu, pakar ekonomi juga berpandangan perang dagangan antara AS dan China boleh menjejaskan rantaian pengeluaran produk global termasuk industri pembuatan di Malaysia.
Namun, kita boleh memanfaatkan peluang untuk menarik pelaburan dari syarikat yang mengalihkan pengeluaran keluar dari China dengan syarat Malaysia perlu menawarkan dasar yang stabil dan pro-pelabur.
Oleh itu, sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memainkan peranan lebih efektif dalam memastikan ekonomi Malaysia tetap stabil dan berdaya saing.
Antara langkah proaktif yang boleh diambil Kerajaan Madani pimpinan Anwar termasuk memperkukuh diplomasi ekonomi, meningkatkan peranan Malaysia dalam ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Malaysia juga perlu meningkatkan kerjasama dan dagangan dua hala dengan negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tanpa menyebelahi mana-mana kuasa besar secara eksklusif.
Malah, Malaysia juga boleh menubuhkan Majlis Perundingan Geostrategik dan Ekonomi untuk merangka tindak balas terhadap perubahan geopolitik dunia pada masa depan.
Tindakan berkenaan perlu kerana perang dagangan yang berterusan boleh membawa dunia kepada perpecahan sistem perdagangan global kepada dua blok besar atau mencetuskan 'Perang Dingin Ekonomi' baharu.
Kesimpulannya, Malaysia tidak boleh menjadi penonton pasif dalam perang dagangan antara dua kuasa besar ini dengan mengamalkan diplomasi pintar dan dasar ekonomi fleksibel yang berlandaskan prinsip ‘Malaysia First’.