SHAH ALAM - Kerjaya sebagai pelaut mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi apabila perlu mengorbankan masa bersama keluarga tercinta terutama waktu perayaan Aidilfitri demi tuntutan tugas.
Pegawai navigasi kapal, Mohd Izzuwan Rosli, 33 berkata, perkara tersebut tidak dapat dielakkan kerana apabila dipanggil untuk bekerja, mereka perlu berada di kapal sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.
"Untuk waktu bekerja, kebiasaan saya perlu bekerja selama enam bulan di kapal dan akan diberi cuti selama tiga bulan atau tiga bulan setengah.
"Dari tarikh saya sedia dipanggil, waktu kerja itu tidak tetap untuk setiap tahun. Kadang-kala, saya perlu berada di kapal semasa bulan Ramadan atau ketika bulan perayaan Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujar Mohd Izzuwan yang mempunyai dua orang cahaya mata itu, tahun ini dia berasa gembira kerana dapat menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarganya di kampung halaman.
Menurutnya, dia dan keluarga juga dapat meluangkan masa melakukan aktiviti bersama dalam membuat persiapan sempena perayaan tidak lama lagi seperti membeli kelengkapan baju raya, menyediakan makanan dan menghias rumah.
"Bagi yang berkeluarga, apabila dapat merasa nikmat berbuka puasa dengan mereka, membeli baju raya dengan anak-anak dan lebih-lebih lagi bermaafan pada hari raya, ia merupakan satu kenangan yang amat berharga.
"Pada saya, apabila tidak dapat menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri memang sangat sedih kerana tempoh tersebut adalah satu-satunya waktu di mana masa bersama keluarga itu lebih kerap berbanding waktu biasa,” ujarnya.
Katanya, kali terakhir, dia menyambut perayaan Aidilfitri bersama isteri dan anak-anaknya adalah pada 2021 iaitu tiga tahun lalu.
Mengulas mengenai perasaan anak-anaknya, Mohd Izzuwan berkata, meskipun masih kecil lagi, namun mereka sudah mula memahami komitmen kerjanya sebagai pelaut.
"Ketika mereka umur tiga tahun ke bawah, mungkin mereka masih belum nampak lagi. Tetapi sekarang anak saya sudah berusia enam dan lima tahun mereka sudah mula kenal.
"Contohnya, bila nampak saya mengemas barang keperluan dan pakaian, mereka seolah-olah sudah tahu itu masa saya perlu naik kapal,” menurutnya.
Sementara itu, Pegawai Nagivasi Kapal, Mohd Nazreen Aiman, 34 berkata, pada tahun ini, dia dapat menyambut perayaan Aidilfitri kali kedua bersama isterinya sejak berkahwin sejak 2019.
"Selepas kahwin, empat tahun saya dan isteri tidak dapat beraya bersama. Awal-awal memang sedih, tetapi selepas beberapa tahun kita sudah terbiasa.
"Sama ada raya atau tidak, kena kuat hati. Alhamdulillah isteri memahami kerja saya cuma sebelah ibu bapa pula yang sedih.
"Lagipun, sekarang teknologi di kapal sekarang memudahkan kita untuk akses internet, jadi saya boleh menghubungi isteri saya sama ada melalui WhatsApp atau panggilan video bila-bila masa,” ujarnya