Tiga jenis bubur jadi rebutan penduduk

Iklan
Zainun (empat dari kanan) bersama-sama bergotong royong memasak bubur di Masjid AL Hasanah, Kampung Jaya Setia di sini pada Sabtu.

KUALA SELANGOR - Bukan sekadar bubur lambuk, malah bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam turut menjadi tarikan utama kepada penduduk di Kampung Jaya Setia di sini pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jaya Setia, Zainun Miskam berkata, inisiatif yang dijalankan secara gotong-royong itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat yang teruja menikmati juadah kegemaran mereka mengikut selera masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyediaan pelbagai jenis bubur itu bertujuan memastikan lebih ramai penduduk dapat menikmati juadah berbuka.

"Ada yang suka bubur lambuk, tetapi ramai juga terutama kanak-kanak yang gemar bubur kacang hijau dan pulut hitam kerana rasanya lebih manis.

Iklan

"Kami sediakan ketiga-tiganya supaya setiap penduduk ada pilihan apabila berbuka nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ahli Pekida Daerah Kuala Selangor turut bertungkus lumus menyediakan juadah bubur lambuk pada program berkenaan.

Program yang diadakan di Masjid AL Hasanah, Kampung Jaya Setia bermula jam 8 pagi itu menyaksikan penduduk berganding bahu memasak, membungkus dan mengagihkan bubur kepada masyarakat setempat.

Iklan

Selain JPKK, program itu turut mendapat kerjasama daripada Parlimen Kuala Selangor, Masjid AL Hasanah dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Kuala Selangor.

Zainun memberitahu, sebanyak empat kawah membabitkan sebanyak 3,000 pek disediakan bagi tujuan memasak tiga jenis bubur berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk Pekida Daerah Kuala Selangor, Muhammad Fairuz Kasim berkata, pihaknya bertanggungjawab mengendalikan bubur lambuk, selain dua lagi bubur disediakan pihak JPKK.

Katanya, selain diagihkan kepada penduduk Jaya Setia, pihaknya turut mengedarkan di beberapa kampung lain antaranya di Jeram, Tanjong Karang dan Kuala Selangor.

"Tak semua orang sempat memasak juadah berbuka, jadi bila ada program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu.

"Program seperti ini diharap diteruskan setiap tahun bagi memupuk semangat kejiranan dan berkongsi rezeki di bulan Ramadan yang penuh keberkatan," tambahnya.