KUANTAN – Tidak seperti peniaga lain menjual makanan di bazar Ramadan, sebaliknya Mohd Syafiq Hamzah memilih untuk menawarkan khidmat sewa tikar.
Walaupun hanya berniaga setahun sekali, lelaki berusia 34 tahun itu, mampu meraih ratusan ringgit hasil daripada penyewaan tikarnya kepada pengunjung yang ingin berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini.
Mengusahakan perniagaan ini sejak tujuh tahun lalu, Mohd Syafiq berkata, jumlah tikar disewa bergantung pada hari, tetapi mendapat sambutan luar biasa diterima setiap hujung minggu.
"Kalau hari Isnin hingga Khamis tidak banyak dalam 40 ke 50 gulung tikar sahaja disewa oleh pengunjung.
"Tapi, Jumaat dan Sabtu, permintaan memang tinggi dan saya boleh sewaan sehingga 80 gulung" katanya ketika ditemui Sinar Harian di Padang MBK1 pada Khamis.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan menyewa tikar terdiri daripada keluarga dan sekumpulan rakan yang mahu berbuka dalam suasana santai di kawasan lapang.
"Bukannya semua pengunjung membawa tikar sendiri. Ada yang datang secara kebetulan selepas berbelanja di bazar Ramadan berhampiran, lalu singgah ke padang untuk berbuka.
"Jadi, perkhidmatan ini banyak memudahkan mereka untuk duduk sambil menikmati suasana sementara menunggu waktu azan Maghrib dari Masjid Negeri yang terletak berhadapan kawasan ini," ujarnya lagi.
Mengulas mengenai kadar sewa, Mohd Syafiq berkata, segulung tikar bersaiz 4x6 kaki disewa dengan pada harga RM5 dan boleh memuatkan empat orang dewasa.
Selain itu, katanya, terdapat juga pilihan tikar lebih besar dengan harga RM15 untuk 10 orang manakala RM20 bagi kapasiti 12 orang.
"Kami tidak mengambil deposit, tapi pengunjung hanya perlu membayar mengikut saiz di kehendaki dan boleh memilih tempat duduk di padang.
"Apabila sudah selesai (berbuka) dan mahu pulang, tikar itu perlu dipulangkan semula kepada kami," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Syafiq memberitahu, terdapat segelintir pengunjung gagal memulangkan tikar selepas berbuka.
Dia percaya kebanyakan pelanggan bukan berniat buruk tetapi mungkin disebabkan terlupa atau benar-benar memerlukan tikar tersebut.
"Kadang-kadang mereka tidak ingat untuk memulangkannya atau mungkin memang memerlukan tikar itu.
"Tapi saya halalkan sahaja. Namun, kalau mereka sedar bahawa itu adalah tikar sewaan, kebanyakannya pasti akan pulangkan semula," jelasnya.