GEORGE TOWN - Kuih tradisional apom balik kini diberi nafas baharu menerusi jenama Arpan Apom Balik, yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta makanan di negeri ini.
Dengan gabungan resipi warisan dan inovasi moden, jenama ini terus mencipta fenomena dengan keunikan rasa serta pelbagai pilihan inti yang memenuhi selera pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.
Arpan Apom Balik kini tampil dengan inovasi apom mini yang berintikan lebih 10 perisa, demi untuk menepati selera para pelanggannya.
Pemiliknya, Muhamad Hanafi Arpan, 29 berkata, idea untuk menghasilkan apom mini itu tercetus daripada isterinya, Anis Nurfitrin Anis Zairin, 29 pada tahun lalu.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, apom mini sebelum ini hanya dijual di dua kiosk iaitu di Kafe Bangsawan, Bayan Lepas dan Makan Pagi by Fizzy Cafe, Permatang Pauh namun kini boleh didapati di Bazar Ramadan Bayan Baru.
"Apom mini ini memang saya eksklusifkan hanya di dua kiosk saya dan bazar Ramadan sahaja. Untuk jualan di pasar malam, saya hanya menjual apom balik biasa dalam hanya beberapa perisa inti sahaja.
"Apa yang lebih istimewa, untuk pelanggan Bazar Ramadan Bayan Baru, saya sediakan lebih 10 perisa inti untuk dicuba antaranya pistachio, red velvet, blueberry, strawbery, nutella, cheezy chocolate, oreo, cheezy nutella dan nutella red velvet," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Anak jati Bayan Lepas itu berkata, dia tidak menyangka dengan sambutan yang amat memberangsangkan selama tiga hari berniaga sejak Sabtu lalu.
"Saya baru berniaga di bazar ini tiga hari lalu kerana ada masalah sikit dengan tapak. Bagaimanapun, selama tiga hari berniaga, hampir 2,000 biji apom mini telah terjual. Saya memang tak sangka dengan sambutan pelanggan.
"Saya jual dalam dua set, set pertama empat biji berharga RM10 manakala set kedua, sembilan biji dengan harga RM20. Pelanggan boleh memilih apa sahaja perisa inti kesukaan mereka," katanya.
Bercerita lanjut, Muhamad Hanafi berkata, dia menempah acuan apom mini dari China dengan harga RM450 untuk satu set.
"Mula-mula saya guna kuali kecil untuk goreng telur mata tetapi bentuk apom jadi tak cantik. Setelah buat carian di internet, isteri saya terjumpa loyang yang sesuai namun perlu ditempah dari China.
"Kami terus tempah dan hasil apom mini sangat cantik untuk dijual kepada pelanggan. Bagi saya, kepuasan pelanggan adalah paling utama. Saya mahu memberikan yang terbaik walaupun daripada segi persembahan (makanan) dan pembungkusan," jelasnya.
Dia berkata, perniagaan apom balik itu diwarisi daripada arwah bapanya sejak 2009.
"Arwah bapa memulakan perniagaan apom balik ini sejak 1996 namun selepas dia meninggal dunia, saya dan ibu ambil alih. Ini kerana, saya anak lelaki tunggal dalam tiga beradik.
"Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk meneruskan perniagaan yang diusahakan oleh arwah bapa. Semua resepi asli, saya tidak ubah langsung, cuma inti sahaja saya variasikan mengikut peredaran zaman," katanya.
Muhamad Hanafi menambah, selain kiosk, dia juga membuka perniagaan di beberapa buah pasar malam mengikut hari yang ditetapkan.
"Saya berniaga lima kali seminggu mengikut pasar malam di beberapa lokasi iaitu Teluk Kumbar (Selasa), Pantai Jerejak (Rabu), Mahsuri Bayan Baru (Khamis), Sungai Ara (Jumaat) dan Bayan Lepas (Sabtu).
"Bagaimanapun, untuk jualan di pasar malam, saya tidak jual apom mini. Yang ada hanya apom balik biasa dengan beberapa jenis perisa inti sahaja. Oleh itu, untuk hari biasa, jika pelanggan mahu apom mini, mereka boleh ke dua kiosk saya," katanya.
Bagaimanapun katanya, syarikat perniagaannya itu turut menyediakan tempahan untuk majlis hari jadi, perkahwinan dan sebagainya.
Ditanya mengenai harapan dalam perniagaannya, Muhamad Hanafi berkata, dia mengimpikan untuk membuka kilang penyediaan campuran tepung apom baliknya sendiri satu hari nanti.
"Saya memang mengimpikan untuk membuka kilang saya sendiri untuk tepung apom balik jenama Arpan Apom Balik. Saya juga kini sedang berusaha untuk mendapatkan sijil halal agar boleh menyertai acara-acara besar di seluruh negara.
"Saya juga berazam untuk membuka cawangan di seluruh negara agar lebih ramai pelanggan dapat merasa keenakan Arpan Apom Balik ini. Itu lah impian saya, saya berdoa agar ia dapat dicapai satu hari nanti," ujarnya.