Kerajaan hapuskan tempahan berganda di Puspakom, elak kesesakan

Iklan
Anthony berkesempatan bertemu dengan orang ramai di Puspakom Wangsa Maju, pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil langkah tegas dengan menghapuskan tempahan slot pemeriksaan berganda di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi menangani kesesakan serta penyalahgunaan sistem oleh pihak tertentu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan ini diambil bagi memastikan sistem pemeriksaan lebih teratur dan mengelakkan manipulasi tempahan oleh orang tengah.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini terdapat pihak yang membuat tempahan slot secara berlebihan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang sama, kemudian menjualnya kepada pemilik lain bagi tujuan keuntungan.

"Langkah ini juga akan memastikan slot pemeriksaan dapat digunakan secara lebih adil dan mengurangkan kesukaran pemilik kenderaan mendapatkan slot yang sah.

Iklan

"Hanya satu tempahan dibenarkan bagi setiap nombor pendaftaran kenderaan. Langkah ini akan mengekang penyalahgunaan oleh pihak tertentu yang menjual slot pemeriksaan dengan harga tinggi kepada pemilik kenderaan lain,” katanya pada sidang media selepas melawat operasi Puspakom Wangsa Maju pada Selasa.

Anthony turut menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius isu kesesakan yang semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Iklan

Bagi memastikan kelancaran proses pemeriksaan, Puspakom akan meningkatkan waktu operasi dengan menambah empat jam sehari, menjadikan semua cawangan kecuali Langkawi dan Pekan beroperasi selama 12 jam sehari sepanjang Mac ini.

Selain itu, pusat pemeriksaan juga akan dibuka pada setiap hari Sabtu sepanjang bulan tersebut bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pemilik kenderaan mendapatkan slot pemeriksaan.

Dalam usaha mengurangkan beban pemilik kenderaan, MOT turut memperkenalkan sistem deklarasi kendiri bagi beberapa item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan.

Antara item yang tidak lagi diwajibkan dalam pemeriksaan Puspakom ialah tanda badan kenderaan, tanda had laju, nombor pendaftaran, kit kecemasan, serta keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.

"Dengan perubahan ini, kenderaan tidak lagi akan gagal pemeriksaan hanya kerana teks alamat pada badan kenderaan tidak tersusun atau kerana perkara lain yang tidak menjejaskan keselamatan.

"Ini akan memendekkan tempoh pemeriksaan dan mengurangkan kes kegagalan atas sebab yang tidak kritikal," katanya.

Selain itu, kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian larangan waktu puncak kepada kenderaan berat yang mempunyai tempahan sah di Puspakom.

Anthony berkata, perbincangan telah diadakan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi membolehkan kenderaan terbabit menggunakan lebuh raya pada waktu larangan, dengan syarat mereka mengemukakan bukti tempahan kepada pihak penguatkuasa.

"Saya dimaklumkan bahawa ramai pemandu kenderaan berat terpaksa tiba lebih awal di pusat pemeriksaan kerana mereka tidak dibenarkan berada di lebuh raya pada waktu puncak.

Ini menyebabkan kesesakan di premis pemeriksaan. Justeru, kami akan membenarkan pengecualian sekiranya mereka menunjukkan bukti tempahan yang sah,” katanya.

Sebagai satu lagi langkah penambahbaikan, MOT turut memutuskan untuk memanjangkan tempoh pemeriksaan awal Puspakom daripada 14 hari kepada 30 hari sebelum tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM).

"Pemilik kenderaan kini boleh merancang jadual pemeriksaan lebih awal tanpa menjejaskan tarikh sah LKM mereka.

"Tempoh sah LKM tetap dikira berdasarkan tarikh tamat sebelumnya, walaupun pemeriksaan dilakukan lebih awal,” katanya.

Semua langkah penambahbaikan ini akan mula berkuat kuasa pada 17 Mac 2025, bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan lebih cekap dan tersusun.

"Kami komited dalam memperbaiki sistem pemeriksaan kenderaan agar lebih lancar, teratur dan bebas daripada unsur penyalahgunaan.

Dalam masa yang sama, aspek keselamatan jalan raya tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anthony memberitahu, Puspakom Wangsa Maju akan dipindahkan ke Bukit Beruntung berikutan masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi oleh ibu bapa dan guru di kawasan tersebut.

Ujar beliau, pemindahan ini telah dipersetujui dan sebuah cawangan baharu sedang dalam pembinaan di Bukit Beruntung.

"Pada asalnya, pemindahan dijadualkan berlaku pada penghujung Jun tahun ini, namun disebabkan pembinaan yang masih belum selesai, Kementerian telah bersetuju untuk melanjutkan operasi cawangan Wangsa Maju sehingga 30 Jun 2026.

"Kami memahami kesulitan yang dihadapi, terutama dalam memastikan guru dan ibu bapa dapat menghantar anak-anak ke sekolah tepat pada waktunya.

"Oleh itu, sementara menunggu cawangan di Bukit Beruntung siap sepenuhnya, operasi di Wangsa Maju akan diteruskan buat masa ini,” katanya.

Tambah beliau, selain pemindahan cawangan, pihak kementerian juga sedang merancang pembangunan semula kawasan tersebut dengan kerjasama ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan serta Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Bagaimanapun, proses tender bagi projek itu masih dalam peringkat permohonan cadangan (RFP) dan belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak.

Anthony dalam pada itu memberi jaminan bahawa menjelang tahun depan, lebih banyak lokasi akan disediakan bagi pemeriksaan kenderaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap cawangan Wangsa Maju sebelum pemindahannya kelak.