Batal atau teruskan debat bergantung kepada Saravanan-Zamri

Iklan
Muhammad Zamri

SHAH ALAM - Pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu menyatakan keputusan membatalkan atau meneruskan debat berkaitan agama terletak kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Menurutnya, ini kerana Ahli Parlimen Tapah itu memulakan langkah pertama mencabar untuk berdebat dan bukan beliau.

Iklan
Iklan

"Jadi, pandangan supaya debat melibatkan agama tidak diteruskan sepatutnya ditujukan kepada Saravanan.

"Selain itu, Saravanan telah memfitnah kononnya saya menghina agama Hindu sedangkan saya tidak berbuat demikian mahupun menghina ritual dilakukan oleh kaum agama tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang pada Isnin menegaskan debat atau perbincangan yang melibatkan agama tidak seharusnya diteruskan.

Ujar Muhammad Zamri, masyarakat perlu terbuka dengan inisiatif platform debat yang menjadi medium mencari persefahaman dengan sekurang-kurangnya kedua-dua pihak boleh mencapai keputusan setuju atau tidak setuju bagi sesuatu isu.

Iklan

"Kalau kita hendak kata, dengan buat debat ini ia akan mencetuskan ketegangan dan sebagainya, lupakah kita bahawa ada sudut pidato di dunia ini, contohnya di United Kingdom (UK).

"Sudut pidato ini orang boleh gunakannya untuk bincang, tidak ada masalah, yang menjadi masalah sebab kita yang sebenarnya meletakkan minda kita ini seolah-olah perkara itu terlampau teruk,” ujar beliau.

Menurutnya, pendekatan mengadakan sesi debat jauh lebih baik dan matang berbanding mengadakan himpunan di jalanan atau bantahan bagi sesuatu isu.

"Kalau kita dapat ajar masyarakat supaya menjadi lebih bertamadun, perbincangan begini tidak menjadi masalah.

"Sekarang bila ada masalah, adakah kita hendak sembunyikan masalah itu bawah karpet atau berbincang dan cari penyelesaian?” soalnya.

Menurut Muhammad Zamri, tindakan sesetengah pihak mengatakan tidak perlu menganjurkan perbincangan atau debat itu disifatkan sebagai cubaan untuk menyembunyikan masalah tersebut.

"Apa kata Kementerian Perpaduan sahaja anjurkan dialog tersebut secara harmoni di bawah Jawatankuasa Harmoni yang ditubuhkan baru-baru ini.

"Namun, jika Saravanan membuat pengakuan telah terkhilaf memfitnah saya dan mengumumkan beliau menarik diri dari debat tersebut maka saya akan sambut baik keputusan beliau,” katanya.