Ops Pantau, Tiris dipertingkat kekang penyeludupan barang subsidi menjelang Aidilfitri

Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita pada program SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar.

PAPAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan menerusi Ops Pantau dan Ops Tiris bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta ketirisan barang bersubsidi negara terutama menjelang musim perayaan ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, untuk aktiviti penyeludupan ke negara asing umum mengetahui ia adalah di bawah bidang kuasa agensi lain kerana melibatkan sempadan negara.

Iklan
Iklan

"Namun KPDN daripada segi sumber bekalan itu dalam negara, kita aktifkan kerjasama di setiap agensi yang berkaitan khususnya dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang melakukan kawal selia sempadan.

"Rrisiko itu memang ada berlaku penyeludupan dan penyelewengan, jadi kita tingkatkan Ops Pantau dan Ops Tiris di sempada bagi mengekang sebarang akitiviti penyeludupan dan ketirisan," katanya.

Iklan

Ahli Parlimen Papar itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar, di sini pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penyeludup ketika ini sedang giat 'menghantar barang bersubsidi' ke negara jiran menjelang sambutan perayaan Aidifitri.

Iklan

Bagaimanapun, kegiatan cuba menyeludup beras, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) itu berjaya dipatahkan oleh Maritim Malaysia Zon Tawau.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai langkah pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol yang akan dipertimbangkan kerajaan, Armizan berkata, ia adalah untuk penyelesaian tempoh jangka pendek bagi mengurangkan gangguan bekalan bahan tersebut dalam tempoh tiga bulan sempena sambutan perayaan ini.

"Ada sebahagian daripada syarikat pembungkus minyak masak botol ini yang difahamkan sebelum ini mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran penghasilan minyak masak botol hingga 50 peratus pengeluaran mereka untuk meminimakan kos.

"Itu sebabnya sebahagian tempat ada kawasan yang mengalami sudah tidak ada langsung minyak masak botol.

"Sebab itu semalam Perdana Menteri segera membuat keputusan bersetuju dengan pilihan kita untuk membuat intervensi dalam bentuk kita memberikan insentif kepada syarikat-syarikat tersebut dalam tempoh tiga bulan ini untuk kita tampung waktu Ramadan, Syawal dan Pesta Menuai atau Gawai nanti," katanya.

Katanya lagi, dalam tempoh tiga bulan itu KPDN tidak mahu ada langsung gangguan bekalan minyak masak botol tersebut.

"Jadi semalam juga KPDN telah mula berhubung dengan syarikat berkaitan untuk kita formalkan mekanisme ini dengan berjumpa syarikat-syarikat ini pada awal minggu hadapan atau Isnin ini untuk menandatangan perjanjian bagi menerangkan apa mekanisme itu.

"Tapi alhamdulillah, atas rayuan dari kita mereka telah bermula hari ini untuk berusaha mengembalikan pengeluaran itu pada paras normal, mereka tidak menunggu sehingga minggu depan sebab komitmen selepas diumumkan secara rasmi semalam," katanya.