JOHOR BAHRU – Tema berkongsi rezeki menjadi pilihan sempena penganjuran program majlis Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 di Mydin Mutiara Rini, di sini pada Khamis.
Menurut Pengurus Besar Pacific West (M) Sdn Bhd, Joseph Lim Jun Seng, konsep tersebut dilihat bertepatan dengan program berkenaan yang rata-ratanya bertujuan untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan masyarakat.
Malah katanya, ia dilihat sebagai satu usaha murni dengan memberikan peluang kepada masyarakat untuk menikmati juadah berbuka puasa terutamanya makanan laut yang berkualiti daripada pihak Subi.
"Pada program ini, kita juga menyediakan makanan laut berkualiti pada harga mampu milik dengan serendah RM14.99 yang melibatkan penggunaan ikan putih dan sotong segar dari laut dalam.
"Ini baru permulaan dan kami mahu terus berkongsi rezeki dengan rakyat Malaysia dan saya difahamkan program ini akan bergerak ke beberapa lokasi Mydin di seluruh negara seperti di Johor, Seremban, Ipoh dan Kelantan di sepanjang Ramadan ini.
"Selain terlibat dalam penyediaan hidangan sempena program berkenaan, Subi turut menyumbang semula kepada masyarakat melalui program CSR (tanggungjawab sosial korporat), Prihatin Mydin, di mana RM0.10 daripada setiap pembelian produk Subi akan disalurkan kepada golongan asnaf,” ujarnya.
Selain Subi beberapa jenama lain seperti Indra Valley, F&N, Babas dan lain-lain turut terlibat dalam program berkenaan.
Untuk rekod, setelah penganjurannya di Mydin Mall USJ Selasa lalu, dan Mydin Mutiara Rini pada Khamis, program Jelajah Iftar Sinar Mydin bakal berterusan ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka; Seremban 2, Negeri Sembilan; Mydin Meru, Ipoh, Perak; Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Petra Jaya, Sarawak; Tunjong, Kelantan dan Jengka, Pahang.
Bagi Pengarah Jualan dan Pemasaran Indra Valley, Rooban Palani, pihaknya melihat konsep berkongsi rezeki tersebut sebagai satu peluang bagi pihaknya ‘memberi semula’ kepada masyarakat sempena Ramadan kali ini.
Menurutnya, ia turut sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini di mana beras basmati sering digunakan sepanjang Ramadan dan juga pada hari raya.
"Secara keseluruhannya, kami mahu ‘sentuh’ jiwa rakyat dan sebab itu kami ambil peluang bersama Mydin untuk berkongsi rezeki dalam bulan penuh keberkatan ini.
"Selain itu bagi pihak Indra Valley, kami berharap penyertaan kami dapat memberikan manfaat kepada komuniti, sambil mengukuhkan lagi jenama ini di hati pengguna,” ulasnya.
Dalam pada itu, pesara tentera, Yasin Mohammad, 69, menyifatkan program Jelajah Iftar anjuran Mydin sebagai satu inisiatif terbaik yang membawa manfaat kepada masyarakat.
"Saya tengok program ini memang terbaik. Suasana pun macam dekat Madinah, meriah dan penuh semangat," kongsinya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menyifatkan penganjuran program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 tersebut menjadi platform bagi menyantuni masyarakat setempat.
Katanya, inisiatif Mydin yang menyumbang kepada sekolah tahfiz sekitar kawasan tersebut wajar diteruskan lagi pada masa hadapan dan malah diperluaskan lagi ke lokasi-lokasi lain di negeri ini.
"Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, tapi menginsafkan kita tentang kehidupan anak-anak tahfiz dan golongan memerlukan. Mereka anggap kita macam keluarga sendiri, dan itu sangat bermakna.
"Selain itu, konsep berbuka secara bersila seperti zaman dahulu juga mampu menyemai rasa hormat dan kebersamaan, menjadikan suasana iftar lebih bermakna.
"Jadi, saya harap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan, menyemai semangat memberi dan berkongsi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya.