BAGI setiap Muslim, mencari makanan halal bukan sekadar tuntutan pada bulan Ramadan, tetapi sepanjang hayat.
Ia sebagaimana dinyatakan menerusi firman ALLAH SWT:"Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Disebabkan itulah, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mohd Al'ikhsan Ghazali menegaskan, amanah dalam perniagaan termasuk bisnes makanan sangat ditekankan dalam Islam.
Ia sehinggakan terdapat ancaman terhadap peniaga yang tidak telus dalam perihal halal dan mencampurkan bahan syubhah ketika penyediaan makanan yang mana kelompok itu akan menanggung dosa kerana menipu pelanggan.
"Bahkan, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis masyhur riwayat Imam Muslim memberi peringatan bahawa sesiapa yang menipu, maka dia bukan dalam kalangan golongannya.
Menyambung hujah, Dr Mohd Al'ikhsan yang juga Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM kemudian memerihalkan tentang kepentingan halal dalam makanan dijual.
Jelas beliau, kehalalan makanan pada hakikatnya mempengaruhi hati, amal ibadah dan keberkatan hidup seseorang, bukan semata-mata soal hukum fiqah.
Tambah menyedihkan lagi apabila makanan haram boleh menjadi penghalang kepada diterimanya amal ibadah seseorang, ungkapnya.
"Bayangkan jika seseorang mengambil makanan haram, solat, doa dan bahkan sedekahnya mungkin tidak diterima oleh ALLAH SWT.
"Satu lagi, memakan makanan haram boleh menjadi penghalang kepada keberkatan ibadah.
"Justeru, orang yang ingin mendapatkan ketenangan dalam solat, doa yang mustajab dan pahala dalam amal soleh mesti memastikan bahawa apa dimakannya benar-benar halal,” ujarnya.
Keberkatan hidup
"Bahkan, banyak masalah dalam kehidupan berpunca daripada rezeki yang tidak halal. Mengertilah bahawa halalnya makanan mempengaruhi keberkatan hidup.
"Keberkatan hidup bermaksud kehidupan yang penuh dengan ketenangan, rezeki mencukupi dan kebahagiaan hakiki. Jangan disebabkan makanan haram itu, ia menghilangkan keberkatan, menyebabkan kegelisahan dan membawa musibah,” ungkapnya.
Sebaliknya bagi mereka yang menjaga apa yang masuk ke dalam mulutnya, ujar ahli akademik itu, ALLAH SWT akan mencukupkan keperluan, memudahkan urusan dan memberikan kehidupan baik.
"Oleh itu, seorang Muslim mesti berhati-hati dalam memilih sumber makanan, memastikan ia benar-benar halal dan bersih supaya kehidupannya diberkati ALLAH SWT,” titipnya.
Bagi membendung perkara itu, beliau tersebut menyarankan supaya menerap-kan konsep ihsan dalam perniagaan.
Dalam konteks berniaga, katanya, ihsan bermakna menyediakan makanan yang halal dan berkualiti, tidak sekadar memenuhi piawaian halal semata-mata, tetapi juga memastikan bahan mentah digunakan bersih serta selamat dimakan.
"Di samping itu, menjaga kebersihan tempat perniagaan juga mesti diutamakan termasuk ruangan dapur, peralatan memasak dan penyajian makanan.
"Pada masa sama, peniaga tidak menipu pelanggan seperti menjual makanan tidak halal atau syubhah tanpa pengetahuan pengguna, apalagi menipu dalam soal kuantiti, timbangan dan sukatan.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Mohd Al'ikhsan sekali lagi mengingatkan agar peniaga tidak melaku-kan tindakan manipulasi pelanggan.
"Ingatlah, peniaga yang tidak menjaga halal dalam perniagaan akan menanggung dosa dan boleh hilang keberkatan rezeki.
"Bahkan, harta yang haram itu juga membawa kesan buruk kepada keluarga dan keturunan serta membawa kesengsaraan di akhirat,” tegasnya.
ANEKDOT
Adab berniaga makanan dalam Islam
1. Berniaga dengan jujur dan berintegriti
Rasulullah SAW bersabda: "Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, para siddiqin dan syuhada.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
2. Larangan penipuan dalam jual beli
Sabda Nabi Muhammad SAW:"Jika kamu menipu kami, maka kamu bukan daripada golongan kami.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Telus berniaga makanan
Dalam satu peristiwa, Baginda SAW pernah menegur seorang peniaga yang meletakkan tamar basah di bahagian bawah supaya tidak kelihatan.
Sabda Baginda SAW:"Barang siapa menipu, maka dia bukan daripada golonganku.” (Hadis Riwayat Muslim)