KUANTAN – Seorang peniaga bazar Ramadan hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa apabila 14 balang air jualannya terbalik serentak dalam tempoh beberapa saat pada hari kedua Ramadan.
Peniaga, Ahmad Hakim Ahmad, 31, berkata, kejadian tersebut mengakibatkan kerugian kira-kira RM1,500 apabila enam balang pecah serta kehilangan pati air dan ais.
Menurutnya, ketika itu, dia sudah bersedia untuk memulakan jualan kerana beberapa pelanggan telah menunggu giliran untuk membeli minuman terbabit.
"Baru nak mula menjual, tiba-tiba semua balang jatuh serentak dalam masa dua hingga tiga saat sahaja.
"Masa itu, saya hanya mampu diam, terpandang sesama sendiri dengan orang di sekeliling,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bazar Ramadan Setali di sini pada Khamis.
Lebih menyedihkan, air mangga susu yang menjadi jualan paling laris turut musnah dalam kejadian tersebut.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, kejadian itu berpunca daripada struktur meja yang kurang kukuh, selain kesilapan sendiri yang meletakkan balang terlalu ke depan.
"Mungkin salah saya juga, balang diletakkan terlalu di hadapan dan meja pula jenis aluminium, lebih ringan berbanding meja besi hijau yang saya guna sebelum ini.
"Ditambah pula dengan beban air yang berat, mungkin itu punca semuanya jatuh serentak,” katanya lagi.
Disebabkan kejadian itu, Ahmad Hakim mengakui tidak dapat berniaga pada hari ketiga Ramadan kerana perlu menggantikan peralatan yang rosak.
Menurutnya, kos tambahan sebanyak RM650 terpaksa dikeluarkan untuk membeli balang baharu, pati air, serta menukar kepada meja yang lebih stabil.
Ahmad Hakim menambah biarpun menanggung kerugian besar, dia tetap reda dan melihatnya sebagai ujian dalam perniagaan.
"Hendak menangis pun tiada guna, tetapi saya anggap itu bukan rezeki saya pada hari tersebut. Saya pejam mata dan teruskan sahaja," luahnya.