KUANTAN – Kemeriahan bazar Ramadan tahun ini sedikit terkesan dengan kenaikan harga juadah berbuka, yang meningkat antara 50 sen hingga RM2 berbanding tahun lalu.
Namun, perubahan harga ini tidak menghalang pembeli daripada mengunjungi bazar bagi mencari hidangan kegemaran mereka, walaupun dengan bajet yang lebih terkawal.
Tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini mendapati harga kuih-muih kini bermula dari RM3.50 ke atas, ayam panggang peha dijual antara RM8 hingga RM10, manakala ayam panggang seekor pula RM29.
Roti John dan murtabak pula berada dalam lingkungan RM6 hingga RM10.
Walaupun terdapat peningkatan harga, masih ada peniaga yang mengekalkan harga makanan dan minuman seperti tahun sebelumnya.
Seorang peniaga kuih-muih, Suhadila Suhaimi, 39, berkata, kenaikan harga bahan mentah, terutama kelapa parut dan santan, memberi kesan kepada peniaga kuih-muih sepertinya.
"Harga santan memang mahal sangat tahun ini, begitu juga dengan kelapa parut. Tahun lepas sebiji kelapa parut RM3.50, sekarang sudah RM4.50," katanya.
Dia yang telah berniaga sejak 2006 menjelaskan bahawa harga beberapa kuih meningkat antara 50 sen hingga RM1, termasuk onde-onde, kuih sagu, dan sekaya telur.
"Kami tak berani naikkan harga terlalu tinggi. Jadi, jika harga naik, kami sesuaikan saiz hidangan, ada yang dikecilkan sedikit atau jumlah kuih ditambah.
"Contohnya, tahun lalu onde-onde dijual 10 biji RM3, tahun ini RM4 tetapi jumlahnya bertambah kepada 12 biji," katanya.
Peniaga makanan bergoreng, Ahmadi Zaidin Shahrul Iman, 22, pula berkata, harga nasi dan mi gorengnya terpaksa dinaikkan RM1 bagi menampung kos bahan mentah.
"Kami sesuaikan bahan mengikut harga pasaran. Contohnya, jika harga telur murah, kami lebihkan telur dan kurangkan bahan yang mahal,” ujarnya.
Peniaga lauk campur, Azizi Rahmat, 55, turut mengakui bahawa kenaikan harga santan menyebabkan beberapa menu bersantan seperti masak lemak cili padi, gulai ayam, kari daging, rendang, dan opor daging terpaksa dinaikkan harganya.
"Harga santan naik, jadi kami terpaksa sesuaikan harga lauk.
"Kebanyakan menu bersantan naik sekitar RM1, malah kami pastikan kuantiti dan kualiti lauk tetap berbaloi," katanya.
Pengunjung bazar, Hazid Syakir Zaidi, 27, berkata, membelanjakan sekitar RM40 untuk hidangan seisi keluarga lima orang.
"Dulu boleh beli banyak, sekarang kena pilih sikit-sikit. Bila tambah semua sekali, baru sedar jumlahnya makin besar," katanya.
Seorang suri rumah, Nurfarah Mat Ihwan, 31, pula hanya membeli makanan sampingan di bazar kerana masih memasak nasi di rumah.
"Saya belanja dalam RM25 sahaja. Selalunya beli roti John, murtabak dan kuih, sekadar hendak merasa," katanya yang mempunyai dua anak.
Sementara itu, seorang guru, Teh Fu Sing Adrian, 38, mengakui harga makanan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Harga murtabak naik daripada RM4 hingga RM6 tahun lalu kepada RM5 hingga RM8 tahun ini. Sayur di gerai juga naik daripada RM3 kepada RM4 hingga RM5 sepinggan.
"Kalau dulu boleh pergi bazar tiga kali seminggu, sekarang sekali dua saja sebab bajet kena jaga," katanya.